Saturday, April 24, 2010

Sabar @ Sabo

Assalamualaikum Wbt...


Dah lama tidak menulis, jari jemari semakin gatal untuk mengetuk-ngetuk papan kekunci laptop kesayangan. Dikala teman serumah sedap dibuai lena, sementara aku gelisah gundah gulana melihat awan hitam berarak ingin menghamburkan air hujan ke tanah Taman Puteri. Comforter masih dijemuran, kain di dalam mesin basuh masih berbaki beberapa minit untuk siap dicuci. Arrgh, sabo...

Dulu ketika masih menjadi seorang pelajar selalu sahaja terkeluar ayat begini saat ingin membeli sesuatu atau teringinkan sesuatu:

'takpe, nanti dah keje aku beli lah"

Namun realitinya, setelah bergelar seorang pendidik, gaji di dalam bank yang dibayar oleh kerajaan setelah usai mengajar selama sebulan seolah tidak cukup, saya perlu lebih lagi. Saya ingin beli itu, saya ingin beli ini. Dulu duit tak cukup sebab tengah belajar, tapi kenapa sekarang sudah bekerja pun tidak cukup? Arghh, sabo...

Bilik Darjah


Kebanyakan rakan-rakan semaktab masuk ke maktab adalah kerana terpaksa, memang mereka tidak ada cita-cita untuk menjadi pendidik. Tetapi saya tidak, memang dari dulu lagi saya ingin menjadi guru. Sebab itu saya masuk ke Uitm Penang selama sebulan tidak membeli apa-apa buku kerana yakin panggilan ke Maktab akan dapat.

Sekarang ini, setelah tamat berguru selama lima tahun setengah rasanya seolah-olah tidak pernah belajar apa-apa. Terasa kosong bila berhadapan dengan murid-murid. Kena pula mengajar murid tahun satu. Biarpun kelas paling pandai, tapi boleh tahan juga nakalnya. Oleh kerana kebanyakannya pandai, bila ditanya soalan, maka ramailah yang angkat tangan untuk menjawab soalan.

Terpekik sana, terpekik sini kerana ingin memberikan jawapan. Saya pula memang tidak berapa nak layan sangat dengan budak yang pandai ni, yang tidak fahamlah yang akan saya tanya.

"cikgu ni asyik suruh die je jawab"

Itulah ayat anak murid saya cakap, kerana murid yang saya suruh itu lemah. Tapi memang tidak tahan jika asyik terpekik saja. Ada juga jenis yang tidak siap kerja, tak bawa buku, macam-macam alasan yang diberikan. Satu saja jawapan: sabar...

Rumah

Jika ikutkan hati, macam-macam hendak. Meja, kerusi, air-cond, blender, cakaplah apa saja. Tapi gaji belum cukup. Sabar lagi...

Hati teringin beli lcd monitor baru, nak pakai basikal ke sekolah sekali sekala, nak beli kereta, nak beli rumah, nak beli belaaaaaaa..... macam-macam, sabarlah ya!

Travelling

Bulan depan nak pergi Singapura dengan rakan-rakan guru, duit sudah di asingkan untuk kesana. Bulan ini dan bulan depan akan ikat perut lagi, lebih kurang seperti bulan-bulan yang lepas juga. Cuti bulan 6 nak sertai Jambori Budaya Serumpun di Pagaruyung, Tanah Datar, Indonesia. Ikat perut lagi, sabar lagi...

Itu belum lagi teringin pergi ke tempat-tempat lain, saya memang suka berjalan. Jika tak kahwin dulu, saya teringin pergi haji di Mekah. Doakan...

Idea dah banyak hilang, masa mula-mula tulis masukan ini sebelum waktu asar. Bila dah masuk, saya simpan sekejap untuk sembahyang di masjid. sekali hujan lebat, 6.30 petang baru boleh balik rumah. Minta maaf lah ya...

Adios....

Friday, April 9, 2010

Derma Darah 2

Assalamualaikum Wbt...

Sewaktu tengah bersembang-sembang antara 3 orang rakan di kedai makan, terbit lah cerita ini:

Jom gi derma darah nak? Saya menanyakan kepada Usop.

Jom. Aku dah lama tak gi ni. Badan pun dah rasa berat. Tambah usop lagi.

Ok, set. Kau nak pergi bila?

Hari Jumaat petang lepas sembahyang. Ok?

Boleh, nanti apa-apa hal aku sms kau.

Saya pernah menulis artikel tentang derma darah awal Januari tahun lepas di sini. Itu di Pusat Darah Negara(PDN), kali ini saya ingin bercerita semasa saya menderma di Hospital Kulai Besar, Kulai, Johor.

Begitulah perancangan yang telah di atur dan ditetapkan oleh Allah swt dan dilaksanakan oleh kami berdua pada petang tadi. Setelah sekian lama tidak menderma, terdetik dalam hati rasa ingin berbakti kepada orang lain.


Pusat derma darah di Hospital Kulai sememangnya kecil jika dibandingkan di PDN, Kuala Lumpur. Tetapi keramahan staff ataupun nurse yang bertugas disitu haruslah dipuji. Beliau sememangnya seorang yang peramah. Beginilah sikap yang kita mahu sewaktu berinteraksi dengan penderma. Walaupun bertugas berseorangan dengan jumlah katil hanya dua unit sahaja, ternyata dengan pengalaman yang ada beliau dapat menjalankan tugas dengan baik.

Akhir sekali, kepada sesiapa yang berminat untuk menderma, silalah mengunjungi Hospital ini pada hari bekerja sahaja. Hari cuti seperti hujung minggu, cuti am dan sebagainya tutup. Mendermalah untuk kebaikan anda dan juga orang lain.

Sekian, adios.....

Saturday, April 3, 2010

Convocasion Day 28th March 2010

Assalamualaikum Wbt...

Cerita yang sudah basi, tetapi tetap saya ingin coretkan untuk ingatan diri sendiri.


Sebulan sebelum

Mengikut rancangan, saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Konvokesyen dengan teman serumah. Ialah, saya tidak mempunyai kereta jadi saya ingin menumpang keretanya untuk ke sana. Rakan-rakan lain ada yang mengajak untuk menaiki keretapi pada malam jumaat tersebut tetapi saya malas nak tunggu kerana keretapi tersebut bertolak pada sebelah malam. Lebih baik saya menaiki kereta kerana lebih cepat sampai.


Saya juga sudah meminta cuti rehat khas (CRK) daripada pihak pengurusan, walaupun telinga terasa sedikit panas (salah sendiri kerana meminta di awal pagi, semasa orang tengah sibuk) tetapi kami berempat mendapat kelulusan cuti tersebut. Di sekolah tempat saya bertugas sekarang, ada lagi 3 orang yang berasal dari institut yang sama Nora, Jaja dan Atirah.

Seminggu sebelum

Selepas habis cuti pertengahan semester, teman serumah saya mengatakan beliau ingin singgah ke rumah abang beliau di Seremban pada hari jumaat tersebut. Saya sudah berkira-kira ingin menumpang beliau jadi rasa tidak sedap hati. Hajat di hati ingin sampai di KL pada hari jumaat itu. Sebab pada hari sabtu banyak tempat yang ingin dikunjungi, pergi ke KL Book Fair, pergi membeli belah, dan juga ke Hulu langat, rumah atuk saudara tempat saya pernah tinggal untuk praktikum fasa 2.

Oleh kerana teman serumah ingin singgah ke Seremban, saya bertanya-tanya dengan rakan-rakan yang lain, mujurlah ada yang sudi tumpangkan. Terima kasih kepada saudari Nora dan encik abangnya yang sudi menumpangkan diri ini.

Jumaat, 26 Mac 2010


Orang lain kalau nak berjalan jauh mesti barang-barang sudah dikemas, baju-baju sudah dilipat dan dimasukkan ke dalam beg. Tapi saya mengemas barang-barang selepas pulang dari sekolah. Lagipun setakat 3 hari, bukan banyak sangat barang-barang yang dibawa.

Alhamdulillah, perjalan berjalan lancar sampai ke Gombak, rumah sepupu. Beliau dan isteri mengajar di SM Teknik Gombak. Pada rancangan asal, saya akan tidur di Hulu langat kerana emak dan ayah akan bertolak dari K.Terengganu pada hari sabtu bukan hari jumaat. Jadi saya ingin duduk di Hulu Langat pada hari jumaat dan ke KL pada pagi sabtu. Kesian nenek di Hulu Langat, sudah dikemaskan tempat tidur dan dibelinya ikan patin, antara makanan kegemaran saya. Alih-alih tak jadi.

Sabtu, 27 Mac 2010

Hari ini, awal-awal pagi selepas sarapan pagi kami sekeluarga menuju ke PWTC tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sudah 3 tahun berturut-turut saya menghadirinya sewaktu menjadi pelajar, kini selepas sudah bekerja memang ingin pergi lagi. Dulu ingin beli buku asyik terbantut sahaja kerana duit tidak cukup. Kali ini kira-kiranya ingin membeli sepuas-puasnya. Hmm, tidak jugak. Duit keluar macam air saja, cepat habis. Kena jimat.

Di sini sempatlah saya membeli Al-quran terjemahan perkata, dibawah perkataan arab ada terjemahan perkataan dalam bahasaIndonesia. Sudah lama saya inginkannya tetapi tidak berkesempatan. Pada pesta buku tahun lalu sudah berkira-kira ingin memilikinya tetapi tidak jadi. Harganya RM150, tetapi tahun ini saya dapat membelinya dengan harga RM100 sahaja. Murah kan?

Kebetulan ayah saya turut ingin membeli Al-quran 15 dalam satu (ada macam-macam kelebihan, terjemahan perkata, tafsir dbs), yang ini beliau dapat harga RM200 daripada RM220 di kedai-kedai lain. Jadi oleh kerana membeli 2 Quran, saya dapat diskaun lebih sikit, kalau tidak kena lah bayar RM120 untuk Quran tersebut. Saya turut melanggan majalah Libur dan beli buku Travelog Haji. Saya ingin melanggan Solusi dan majalah National Geographic, tidak berjumpa. Memang tiada rezeki. Selepas PWTC, kami pergi ke SOGO, tempat saya menghabiskan duit. Habis disitu, kami ke Hulu Langat.

Pada sebelah malamnya, saya tidak sempat menghadiri perjumpaan Alumni QUT di Hotel Nikko tempat akan berlangsungnya Majlis Graduasi. Memang menyesal, tapi sudah ditetapkan saya memang tidak berkesempatan. Apa boleh buat.

Ahad, 28 Mac 2010


Inilah hari yang ditunggu-tunggu, selama lima tahun setengah bertungkus lumus untuk memiliki sekeping 'sijil fotokopi'. Hahaha, kenapa saya tulis sijil fotokopi, sijilnya sangat simple macam sijil kita fotokopi. Ditambah lagi warna kertasnya yang putih, tidak ada bingkai pun. Memang selekeh orang putih ni.

Kami sekeluarga bertolak menaiki kereta ke Terminal Putra, stesen LRT Putra yang paling hujung. Dari sini kami menuju ke stesen Ampang Park, tempat terdekat dengan Hotel Nikko. Di hotel, saya mengambil jubah dan mengambil gambar sebelum bermula upacara konvo. Lama menunggu, cuba bayangkan saya sampai dalam pukul 10 pagi dan upacara penyampaian sijil adalah pada pukul 2 petang. Memang kelam kabut pengurusan, tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Cuma ada beberapa teman yang tidak menghadiri majlis ini, saya pun tidak tahu kenapa. Biarlah, semua sudah besar.


Selepas konvo, emak dan ayah terus pulang ke Terengganu, dan saya terkontang-kanting tidak tahu hendak ke mana. Esok sudah minta cuti, takkan nak balik awal. Fikir punya fikir, saya dan teman serumah ke Maktab. Berhajat ingin tidur di sana. Alang-alang ingin melawat pensyarah pada hari isnin, lebih baik dan mudah jika bermalam di Maktab. Nasib baik warden bagi, kalau tak, tidur di masjid lah jawabnya.

Isnin, 29 Mac 2010

Pukul 8-10 pagi, kami pusing-pusing maktab melawat dan menziarahi pensyarah yang pernah menabur bakti. Ramai yang terkilan kerana tidak dimaklum tentang konvokesyen. Mereka telah bertungkus-lumus berpenat lelah menyediakan silibus dan bahan untuk mendidik kami agar terdidik. Alih-alih bila hari konvokesyen tidak dijemput. Memang terkilan.

Bertolak pulang dalam pukul 3 petang. Kali ini, saudari syuhada turut tumpang sekali. Jadi kami ke Kangkar Pulai dahulu untuk menghantar beliau. Nak dijadikan cerita, saya tertinggal jam tangan di stesen Petronas di Kangkar Pulai. Kami singgah sembahyang, sebelum mengambil wuduk saya menanggalkan jam tangan dan cermin mata. Cermin mata di ambil, tetapi jam tertinggal.

Dah sampai rumah di Kulai, Zack ajak pergi balik semula untuk mencari. Apakan daya, apabila sudah sampai Petronas sudah tutup. Saya pergi ke surau dibelakang, hati sudah berbunga-bunga berharap jam yang ditinggalkan ada disitu. Bila pintu dikuak, kosong. Tidak ada jam kesayangan disitu. Walaupun tidaklah mahal jam tersebut, saya beli lebih kurang 100 ringgit. Jenama casio: G-Shock. Sudah 2-3 tahun saya memakainya. Belum pernah ditukar baterinya. Memang tahan.

Oleh kerana Petronas itu sudah tutup, saya sms syuhada suruh beliau bertanya sama ada pihak petronas tersebut telah menyimpan jam saya. Alhamdulillah, ada! Saya bersyukur. Setakat masukan ini ditulis, saya belum mengambil lagi jam tersebut. Mungkin hari ini, insya allah.

Adios...