Wednesday, June 30, 2010

Patah Tumbuh Kembali

Assalamualaikum Wbt...

Patah tumbuh kembali. Cantik dan menarik tajuk masukan kali ini. Terus terang bila ayat ini terkeluar dari mulut seseorang menunjukkan beliau cuba memujuk hati yang luka setelah dikecewakan. Sang bunga kecewa dengan kumbangnya kerana mencari bunga yang lain dan kumbang kecewa kerana bunga telah dipetik orang.

Tetapi ini bukan tujuan dan maksud sebenar saya menulis kali ini. Sebagai guru permulaan, banyak perkara-perkara menarik yang terjadi kepada saya semasa berada di sekolah. Dan juga sebagai guru matapelajaran yang mengajar murid sekolah rendah, pelbagai ragam dan kerenah dapat saya perhatikan. Saya berasa amat beruntung kerana dapat mengajar murid-murid tahun satu, memang bersyukur.

Sebelum ini, pada awal-awal mengajar saya sedikit stress dan tertekan kerana mendapat murid tahun satu. Ialah, sebagai orang muda, lelaki pula tu saya sedikit kurang sabar melayan pelbagai gelagat dan pe'el (x reti nak eja, minta maaf ye) budak-budak yang baru nak mula sekolah. Memang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Namun setelah enam bulan berlalu, stress itu masih ada sebenarnya. Tetapi terubat apabila saya memikirkannya kembali. Inilah cabaran, ambillah ia dari sudut yang positif. Ia adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan 5 hingga 10 tahun akan datang. Bahkan seumur hidup! Inilah saham saya di akhirat nanti, ibarat kain putih. Saya turut bertanggungjawab dalam mendidik mereka erti kehidupan.

Panjang betul mukaddimah kali ini. Saya nak menceritakan tentang murid-murid saya yang telah kehilangan gigi mereka. Terutamanya gigi hadapan. Sengaja saya ambil gambar mereka untuk kenang-kenangan. Banyak perubahan yang berlaku pada mereka terutamanya dari aspek fizikal.

Jika dulunya mereka kelihatan sangatlah comel, sekarang nampaklah sedikit kematangannya. Matang dari kaca mata saya, saya melihat mereka membesar. Kadang terperasan baju yang mereka pakai semakin ketat dan sendat. Menunjukkan mereka semakin membesar. Iyalah, budak! Tidak mungkin mereka semakin mengecil.

Nikmatilah gambar-gambar ini:


Faiz. Chubby boy. Pencapaian beliau sederhana dalam matematik. Saya berharap beliau dapat meningkatkan lagi kefahaman beliau dalam semua matapelajaran. Harap tahun depan masih di kelas Hibiscus.

Irfan. Kadang-kadang pemalu, manja sikit-sikit. Entah berapa kali mengangis semasa saya mengajar. Clever boy.

Aidil. Saya menghadapi masalah besar untuk mengajar beliau. Duduk di kelas pandai tetapi.... bukan apa, kesian tidak dapat mengikut rentak rakan-rakan yang lain dan susah untuk saya fokus kepada beliau sahaja. Murid-murid lain pernah menyuarakan "cikgu ni asyik tanya Aidil je" Hmm, susah kan...


Balkis. Budak kelas sebelah (1 Alamanda). Sangat sporting.


Siti Umairah. Sangat matang berbanding rakan sekelas yang lain. senang mengajarnya.
Clever girl.

Sabrina.

Tak ingat nama beliau. Minta maaf, kelas 1 Alamanda hanya 3 waktu seminggu(PJK). Sukar untuk mengingati semua. Melakar sejarah dengan lari dari rumah kerana tidak balik ke rumah dengan tidur di rumah rakan. Kesian... Family problem.

Umar Ukashah


Nuramina

Adios...


Adyri
81000 Kulai, Johor.

Thursday, June 17, 2010

Jamboree Budaya Serumpun Indonesia Malaysia Bah.2

Assalamualaikum Wbt..

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Swt kerana masih lagi memberikan waktu dan kesempatan buat hambanya untuk melakar satu lagi sejarah dalam hidup. Kembara ke Pagaruyuang, Tanah Datar, Indonesia selamat pergi dan selamat kembali ketanah air lewat 14 Juni tempohari.

Banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat diambil dari aktiviti perkhemahan ini sama ada baik mahupun buruk negara orang, ia tetap sebagai pengajaran bagi saya. Sungguh, tidak sekelumit pun terdetik rasa menyesal mengikuti perkhemahan ini walaupun baru pertama kali mengikuti jamboree pengakap.



Jamboree Budaya Serumpun Indonesia dan Malaysia memberikan banyak pengalaman yang saya tidak boleh beli dengan wang ringgit. Kerana Jamboree ini adalah jamboree budaya. Ia tidak banyak melibatkan aktiviti fizikal, tetapi lebih kepada budaya. Susur galur budaya leluhur dahulu kala dalam menyampaikan gerak tari serta lenggok lentuk menyampaikan mesej-mesej tertentu amat menarik untuk ditelusuri.

Saya bagaikan melihat pembikinan filem-filem Melayu lama zaman-zaman allahyarham P.Ramlee dan seangkatannya sewaktu melihat persembahan budaya dari pelbagai kontingen pramuka (kotinjen pengakap) Indonesia mempersembahkan tarian. Saya berani jamin bagi ahli budaya pasti terpegun dengan persembahan mereka serta kostum-kostum yang diperagakan masih terserlah keaslian dan kecantikannya.



Kami juga dibawa wisata (melancong) ke tempat-tempat yang menarik untuk dilawati termasuklah ke tempat untuk membeli belah. Bukit Tinggi dan Jam Gadang sememangnya sinonim dengan kita orang Malaysia sebagai tempat membeli belah yang menarik untuk dituju. Tapi jangan lupa Aur Kuning juga mampu memberikan saingan yang lebih kompetitif bagi dua tempat tersebut.

Berbalik dengan aktiviti perkhemahan, kami kotinjen Johor adalah seramai 107 orang termasuklah para pemimpin. Semuanya datang secara berperingkat-peringkat bermula dengan saya ktinjen dari Kulai, Senai dan Kota Tinggi seramai 36 orang. Pergi dengan menaiki feri demi menjimatkan sedikit duit, tetapi pengalaman yang didapati amatlah besar dan sungguh bermakna sekali.

Dari Johor singgah ke Melaka, dari Melaka ke Dumai dan Dumai Ke Pagaruyung. Pengalam yang menyeksakan adalah dari Dumai ke Pagaruyung dengan menaiki bas membelah banjaran dan jalan-jalan yang berlubang-lubang dan bersimpang siur segala. Pengalaman ini seolah kita menaiki bas pada zaman 70-80an dahulu ataupun jika ada jalan-jalan di Sabah dan Sarawak sekarang. Tapi saya fikir Sabah dan Sarawak adalah lebih baik.



Bayangkan berada di dalam bas yang seperti Bas Mini, sempit dan sesak macam ikan sardin selama lebih 12 jam. Tapi itulah yang dikatakan pengalaman. Saya sangat mengagumi para pemandu di Indonesia berbanding di Malaysia. Cara pemanduan yang mungkin agak berbahaya akan tetapi pemandu lain akan memberi jalan dan ruang kepada kita untuk memotong kereta lain. Kaya dengan sifat toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain. Kereta yang berada di jalan bertentangan akan sampai ke tahap berhenti untuk memberi kita lalu. Sangat bagus kan?



Upacara pembukaan Jamboree adalah sangat meriah dan saya fikir kita di Malaysia tidak mampu untuk melakukannya (dalam konteks pengakap). Sangat menarik dan saya mengagumi pramuka Indonesia mampu melakukannya. Begitu juga dengan upacara penutupan, sebelum bermula acara semua kotinjen diarak mengelilingi Bandar Batu Sangkar diiringi dengan marching band jemputan. Terasa sangat dihargai.


Sampai sini dahulu, jika rajin masukan ini akan bersambung dan jika tidak seperti ini sajalah....

Adios.....


Thursday, June 3, 2010

Jamboree Budaya Serumpun Indonesia Malaysia Bah.1



Assalamualaikum wbt...

Saya akan ke Pagaruyung, Indonesia untuk mengikuti Jamboree Serrumpun Indonesia-Malaysia bermula 6-14 Jun 2010. Jamboree tersebut bermula dari 8 Jun hingga 12 Jun, kami delegasi dari Johor bertolak awal menaiki feri dari Dumai ke Indonesia.

Tidak banyak maklumat yang dapatt dikongsikan bersama kerana saya tidak pernah ke sana dan inilah Jamboree Pengakap yang pertama dalam hidup saya menyertainya. Zaman sekolah dahulu tidak mempunyai kesempatan dari segi kewangan dan juga guru-guru tidak banyak membantu saya untuk terus aktif dalam pengakap.

Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada jamboree tersebut adalah:

Seni tradisional Minangkabau, seperti Tari Piring di Atas Kaca, Tari Piring di Atas Telur, Tari Pasambahan, Lukah Gilo, Dabuih, Randai, Saluang Dendang, nyanyi Minangkabau dan Pacu Jawi. Semua dikemas dengan sangat menarik sehingga seluruh peserta jambore akan mengenal dan merasakan lansung seni budaya tradisional Minangkabau itu. Bahkan juga akan disuguhkan demonstrasi alat musik tradisional serta seni bela diri pencak silat beserta filosofinya.
Sumber

Hanya sekadar ini sahaja untuk kali ini, nantikan masukan kedua saya nanti....