Tuesday, February 24, 2009

Peringatan Buatku

Assalamualaikum wbt..
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

Artikel ini ku ambil dari sini. Ia mengetuk-ngetuk pintu hatiku. Semoga ia juga mampu untuk mengetuk hati-hati para sahabatku sekelian. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.

Dan (juga) pada dirimu sendiri.
Maka apakah kamu tidak perhatikan?
(QS Adzariyat : 21)

Dalam solatku yang sudah sekian kalinya, aku tetap merenung telunjukku dalam setiap tasyahud (tahiyyat) awal dan akhir, mengharapkan pahala menurut sunnah mengisi setiap kantung pahala yang tak pernah ku lihat.


Berpuluh tahun berbuat demikian, perasaan ingin tahu tetap menerjah hatiku.

Mengapa Rasulullah s.a.w. berbuat demikian?
Mengapa disunatkan merenung telunjuk sewaktu tasyahud?

Pasti ada sesuatu sehinggakan disunatkan berbuat demikian.
Bagi yang tak ambil pusing, tetap bahagian mereka dengan kantung pahala yang sarat di akhirat, dijamin Allah s.w.t..


Dirujuk persoalan itu kepada yang arif.
Kata mereka telunjuk itu satu, diangkat ketika mengucapkan kalimah
Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah” bagi menandakan keEsaan Allah yang Satu, Yang Maha Esa dan Tiada yang sebanding denganNya.

Jawapan yang diberi hanya mententeramkan jiwaku buat seketika.

Memang benar apa yang dikatakan yang arif itu tadi, tapi mengapa gelodak jiwa mengatakan ada sesuatu yang lain.

Aku sentiasa terganggu dengan persoalan yang ditimbulkan hati yang mendesak-desak mencari rahsia sebenar sehingga hatiku puas.


Kenapa hanya perkara ini begitu mendesak jiwa sedangkan perbuatan itu hanya dilakukan dengan seketika dalam solat.


Sehinggalah di suatu senja yang sangat hening.
Hujan lebat mula turun di luar rumah, menghalang langkah insan yang beriman lemah ini untuk ke tempat azan dilaungkan.

Ditunaikan tanggungjawabku kepada Yang Maha Pencipta dalam kamar bacaan di rumah. Maghrib itu membuka persoalan lama itu kembali.


Mula sahaja tasyahud awal, telunjukku direnung dan membangkitkan kembali persoalan yang sering bermain dijiwaku.


Kekhusyukan dalam ibadatku sedikit teganggu, minda ditumpukan kembali kepada bacaan solat supaya hatiku tetap berpaksikan rasa syukurku kepada Yang Menciptakan diriku dengan segala kesempurnaan.

Tapi semua itu terganggu kembali bila saja aku berada dalam tasyahud akhir.


Sekali lagi aku mengucapkan kalimah:-

“Ashhadu allaa ilaa ha illallah
(Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah)

sambil jari telunjukku diangkat menandakan aku mengakui keEsaan Allah s.w.t..

Bagaikan hendak tersembur kandungan dadaku tatkala aku merenung jari telunjukku pada kali ini.


Serta merta airmataku mencurah-curah keluar tak tertahan,

ditahan sebak dadaku supaya tidak terbatal solatku.

Allahuakbar! Allah Maha Besar!

Ampunkanlah segala dosa yang telah kulakukan dengan tanganku ini…

Ya Allah!

Betapa Engkau memuliakan kami manusia dengan kalimah NamaMu pada jasad kami yang kotor ini..

Ampunkanlah aku, ampunkanlah aku…
Mulai Maghrib hari itu, perbuatan mengangkatkan dan merenung telunjuk dalam tasyahud tidak lagi mengganggu kekhusyukan solatku, tapi ia membuatkan hatiku sentiasa gentar dan sayu..

Sayu mengenangkan dan merindui Allah s.w.t.,

Gentar kerana aku melihat aku ini milik Allah…

Ya Allah!

Benar..
Akhirnya jawapan bagi persoalan itu telah kutemui bila saja terpandang kalimah Allah ditelunjuk kananku..


Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al Qur'an itu adalah benar!!!
(QS Fussilat : 53)

Subhanallah! Maha Suci Allah!

Ampunilah aku kiranya tangan yang membawa kalimah namaMu yang Maha Suci dan Mulia ini telah aku gunakan untuk melakukan dosa dan maksiat melanggar perintahMu..

Ampunilah aku kiranya tangan ini pernah menyakiti orang-orang sekelilingku...

Ampunilah aku kiranya tangan ini pernah mengambil sesuatu yg bukan hak ku
Ampunilah aku kiranya tangan ini menyentuh bukan muhrim
Ampunilah aku kiranya tangan ini....
(Ya ALLAH, byk dosa yg tak mampu aku tuliskan dgn tgnku saat ini)


Ampunkanlah HambaMu ini Ya Allah…



Dan (juga) pada dirimu sendiri.
Maka apakah kamu tidak perhatikan?
(QS Adzariyat : 21)


Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.
( QS : Al Hijr : 75)


Iaitu orang-orang yang matanya dalam keadaan tertutup
dari memperhatikan tanda-tanda kebesaran-Ku,
dan adalah mereka tidak sanggup mendengar?.
(QS Al Kahfi : 101)

Dan apakah mereka (manusia) tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah,
sedang mereka merendah diri?
(QS An Nahl : 48)


Untuk Kami perlihatkan kepadamu (manusia)
sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang sangat besar
(QS Toha : 23)

Mari kita sama-sama baca terjemahan surah Ar-Rahman ini:

(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1)

Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2)

Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)

Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (4)


Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu. (5)


Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya. (6)


Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. (7)


Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (8)

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (9)

Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. (10)


Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang. (11)


Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum. (12)



Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (13)

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Selepas aku baca artikel tersebut, terdetik beberapa persoalan dalam diriku ini:

  1. Pernahkah apabila bangun pagi aku mengucapkan syukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepadaku?
  2. Apa lagi yang aku rasa tidak cukup? Tak terbanding dengan nikmat yang Allah beri kepadaku. Adakah hambamu ini kufur nikmat ya Allah...?
  3. Tetapi kenapa aku mudah lalai? Kenapa?
  4. Adakah segala amalan dan ibadahku diterimamu ya Allah?

Tuesday, February 17, 2009

Hari Ulang Tahun Rejimen 515 Askar Wataniah Ke-7

Assalamualaikum Wbt.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.


Pada hari sabtu dan Ahad yang lepas, aku telah menghadiri Latihan Tempatan Askar Wataniah di Kem 515AW Bkt. Keramat. Latihan kali ini adalah bersempena Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen 515 Askar Wataniah yang ke-7.

Inilah kali pertama latihan tempatan diadakan di kem baru ini. Pada permulaannya aku berasa 'sedikit' teruja lah untuk menghadiri latihan kali ini. Walaubagaimanapun 'keterujaan' itu menjadi biasa-biasa saja akhirnya kerana latihan tempatan yang sudah aku maklumi dari dahulu lagi adalah membosankan.

Almaklumlah dengan aktiviti yang sama sahaja dan antara perkara yang aku tidak gemari di dalam askar ialah menunggu. Tapi, walau macam mana bosan pun aku, insya allah jika tidak ada aral melintang aku akan tetap hadirkan diri. Orang kata (bukan aku kata) semangat tu yang penting, tidak kisah lah jika aktiviti membosankan.

Sebenarnya bergantung kepada diri kita juga, sebenarnya kita mampu untuk menjadikan sesuatu aktiviti itu sama ada bosan atau tidak. Jika bosan, kita harus bersungguh-sungguh untuk menjadikannya tidak bosan. Betul tak?

Aku harap aktiviti tahun ini ada sedikit keterujaan untuk aku hadiri ditambah lagi dengan pengumuman oleh En, Rasyid memberitahu bahawa aktiviti tahun ini sudah dirancang dan ada sedikit perubahan untuk menarik minat ramai lagi perajurit untuk menghadirinya.

Sesi bergambar setelah tamat perbarisan

Cuma satu perkara yang sedikit melucukan berlaku pada latihan kali ini, aku dan beberapa orang lagi ditugaskan untuk membuat sedikit persembahan pada acara pulut kuning sempena HUT ini. Malu lah juga, kena buat aksi depan orang ramai dalam dewan makan tersebut.

Namun kugagahkan jua serta tebalkan muka yang sedia ada tebal dek lemak ini untuk membuat persembahan tersebut. Pada malam selepas latihan kulihat bahuku merah dan lebam-lebam kerana dipijak oleh rakanku untuk berdiri. Mahu tidak lebam, bahuku dipijak dengan kasut beberapa kali sebelum persembahan.

Sebelum persembahan mestilah kita buat latihan dahulu kan, jadi kira sendirilah berapa kali bahuku dipijak dengan kasut yang sungguh keras itu. Boleh tahan juga la sakitnya tapi tidak mengapalah. Tidaklah sesakit rakyat Palestin berjuang menentang Yahudi Laknatullah yang tidak berperikemanusiaan itu.

Ok tak?Huahuahua....

Combo Renjer membuat persembahan semasa jamuan

Sekian sahaja untuk kali ini, adios.....

Monday, February 16, 2009

Pelestin oh Palestin

Dengan nama allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani


Jangan kau tangisi pemergian kami ini
Tangisan mu itu tidak berguna
kerna ia tidak membawa apa apa erti
ia tidak mampu untuk melawan musuh kami
ia tidak utuh untuk menahan serangan bom
malah tidak upaya menjadi benteng kukuh
buat kami berteduh

Jangan kau sedih atas kesyahidan ini
sesunguhnya mati itu pasti
kami tidak gentar
datanglah berbagai-bagai ancaman
kami tidak takut
pantang undur sebelum melawan
Sesungguhnya janjiMu itu pasti ya Allah
Kami yakin
Kami pasti
Pertolongan mu pastikan hadir

Jangan kau duka atas kehilangan ini
pasti ada sinar hari esok
sinar yang dijanjikan
oleh rasul kita
Kami percaya ya Allah
kebenaranMu
KitabMu
RasulMu
MalaikatMu
JanjiMu
Kami yakin dengan sebenar-benarnya
Lailahaillah, Muhammad rasulullah
Allahu akbar!


Dedikasi buat penduduk Palestin yang sedang berjihad. Tidak ada apa lagi yang dapat aku sumbangkan selain membuat sesuatu di blogku dan juga bersedekah. Moga-moga amalan ini diterimaMu ya allah. HambaMu ini dhoif, lemah ya allah.

Buat teman-teman, teruskan berdoa, jangan berhenti untuk bersedekah, menyebarkan risalah, membuat buletin dan sebagainya. Jika kita tidak mampu untuk sama-sama berjihad dengan saudara-saudara kita di Palestin, pastikan kita ada usaha untuk kebaikan mereka walaupun sekecil zarah sekalipun. Moga-moga dinilai sebagai amalan baik oleh Allah swt.

Berikut adalah gambar yang kuperolehi melalui email mengenai shuhada' di Palestin:

WAJAH SYUHADA' GHAZZAH

Bangga mendapat syahid yang diidamkan

Tiada yang Lebih Hebat dan Manis selain Syahid

Pergi Mendapatkan Janji Allah swt

Aku Mendapatkan Kekasihku ...oh TuhanKu

Dedikasi buatmu Palestin:

Palestine Forever - Sami Yusuf Without You 2009


GAZA: Michael Heart - We Will Not Go Down


Friday, February 13, 2009

Puteri Gunung Ledang The Musical


Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang! Sebuah produksi hebat daripada syarikat Enfiniti kepunyaan Tiara Jacquelina, seorang sutradara yang hebat. Memang tidak rugi bagi sesiapa yang membeli tiket untuk menontonnya. Kerana itulah tiket yang dijual telah habis sebelum tayangan bermula lagi dan tayangan tambahan turut habis tiketnya bak pisang goreng panas. Mujurlah kami berlapan (aku, Afiq, Tabis, Ajib, Zila, Liza, Azi & Syafiqah) sempat membelinya. Kami membeli tiket yang paling murah sekali iaitu RM33, itu sebelum diskaun pelajar la. Selepas ditolak diskaun pelajar maka jadilah ia RM24. Mampulah kami semua beli, tidaklah terlalu mahal. Lebih kurang tiga kali tengok wayang saja. Hehehee.



Serba cukup rempah ratusnya yang perlu ada di dalam sebuah teater musikal yang telah masuk musim ketiga ini. Tidak kira dari segi apa pun, muziknya, pentas setnya, kareografi tariannya, pakaiannya dan macam-macam lagi. Sepengetahuanku, teater muzikal PGL ini adalah pembuka laluan teater muzikal di negara ini. Inilah satu-satunya teater muzikal yang mula-mula membuka mata rakyat Malaysia bahawa produksi tempatan mampu untuk menerbitkan sebuah teater muzikal bertaraf antarabangsa. Taniah kepada Tiara. Selepas teater ini, barulah terbit teater muzikal yang lain contohnya, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Ibu Zain, Impak Maksima (sekadar beberapa contoh) dan beberapa lagi.

Pementasan di pentas bertaraf antarabangsa menambahkan lagi keunikan teater ini. Istana budaya sememangnya gah dengan pementasan bertaraf antarabangsa kerana ia sememangnya dibina untuk itu. Maka tidak hairanlah pementasan ini sememangnya menarik dan penuh gilang gemilang.

Sememangnya teater ini memberi impak yang besar kepada industri teater negara. Ia memberi nafas baru kepada industri teater. Secara jujurnya, peminat teater di negara ini tidaklah ramai. Kerana itulah pembuat teater tidak boleh 'cari makan' kerana tidak mampu untuk menerbit teater tanpa tajaan-tajaan syarikat besar. Teater biasa tidak diminati oleh orang ramai lantaran kebosanan yang dirasai lantaran dialog-dialog yang panjang (ini pendapatku sahaja). Akan tetapi PGL ini memang tidak bosan, disusun dengan musik yang indah dan dialog-dialog yang ringkas, padat dan berseni.

Lenggok tari penari jawa memang memukau

Terus-terang kukatakan, aku pernah sahaja tidur sewaktu menonton teater biasa. Teater muzikal pun aku pernah tidur, inikan pula teater biasa! Mungkin ada yang berpendapat rugi kalau sudah bayar mahal-mahal tapi tidur bila menonton. Terpulanglah. Prinsip kita berbeza. Aku pernah tertidur sewaktu menonton P Ramlee The Musical, bukan kerana teater ini tidak menarik, tetapi kerana aku kepenatan. Kerana aku tidak tidur pada malam sebelumnya lantaran membuat asignment. Nak buat macam mana, kalau sudah mengantuk, mana-mana pun aku boleh terlelap. Tapi, PGL ini aku tidak terlelap walau sedikitpun.

Berbalik dengan PGL ini, jika ada kesempatan lagi memang aku ingin lagi menontonnya. Bukan sahaja PGL, apa sahaja produk keluaran Infiniti Productions aku hendak menontonnya kerana kupasti akan kualitinya memang tidak menghampakan. Aku agak bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Bukan semua orang suka akan teater ini, terima kasih ku ucapkan kepada teman-teman. Apa yang pasti, teater ini bukan sahaja ditonton oleh orang Melayu sahaja, tetapi bangsa lain turut menontonnya termasuklah bangsa asing. Ini adalah kerana teater ini turut menyediakan sari kata bahasa Inggeris. Ia turut menjadi bukti bahawa teater ini sememangnya gah, se-gah dengan namanya.

Tidak cukup dengan kata-kata untuk kucoretkan didalam blogku tentang teater ini. Kualiti dari segi lakonan, memang kupuji dalam bab ini. Bahasa tubuh yang menarik terutama kareografi tariannya.

Mak Bayan & Gusti Putri Retno Dumilah

Tiara Jacquelina & Stephen Rahman

Persembahan yang mantap dari Adlin Aman Ramli, AC Mizal & Tiara Jacquelina

Para pelakon berkumpul setelah selesai teater

Walaupun teater ini memang bagus, namun ada juga beberapa aspek yang tidak kugemari antaranya:
  • Fesyen berkemban; tidak menutup aurat tu sudah tentu, ia nampak seksi sangat.
  • Adegan Berkasih; Hang Tuah & Gusti Putri memadu berkasih yang bukan budaya kita.
  • Set Pentas Istana Melaka: Ada unsur cina, aku lebih suka unsur yang asli iaitu ukiran Melayu asli.
Sekadar itu untuk kali ini, adios.....

p/s: gambar-gambar diatas bukan aku yang ambil, aku cedok dekat sini: http://www.enfiniti.com.my/pglm3/

Monday, February 9, 2009

Seminar ESQ



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani



Apa yang ku hendak ceritakan tentang ESQ ini? Apa itu ESQ? Macam pernah dengar, tapi dimana ya? Itulah yang bermain-main di fikiran pembaca sekarang ini. Apa yang terbuku dihati ini ingin kuceritakan kepada semua agar boleh juga sama-sama mengikuti ESQ training ini. Bukan kerana aku akan dapat keuntungan darinya melalui recomendation, malah sumpah tidak ada semua itu. Tetapi, bagaimana ingin kusampaikan bahawa ESQ training ini adalah lain daripada yang lain. Ia tidak sama dengan seminar-seminar dan kursus-kursus yang telah anda jalani sebelum ini. Ia lebih kepada pembangunan jiwa, iaitu spiritual anda.

ESQ adalah Emotional Spiritual Quotion. Kalau sebelum ini kita selalu dengar dan ada yang membaca mengenai IQ (Intelligent Quotion) dan EQ (Emotional Quotion), tapi kali ini adalah ESQ. Seminar ini atau latihan ini adalah diasaskan oleh Dr Ari Ginanjar Agustian berdasarkan model The ESQ Way 165. Ia akan membimbing kita secara sedar untuk membina karakter and prinsip-prinsip hidup sepanjang hayat.

Bagi yang pernah membaca mengenai ini, ramai tokoh-tokoh membicarakan mengenai IQ yang tinggi tidak akan menyebabkan seseorang itu berjaya. Ini adalah kerana EQ akan memainkan peranan yang penting. Sebagai satu contoh, jika sesorang itu sememangnya seorang yang pandai, tetapi tidak tahu menghormati orang lain, tidak ada integriti, penipu dan sebagainya ia tidak akan menjamin seseorang itu akan berjaya.

Pada zaman sekarang ini, kepentingan EQ telah dikenali oleh syarikat-syarikat antarabangsa. Mereka tahu IQ tidak akan menjamin kejayaan syarikat tetapi EQ akan membezakannya. EQ akan menjawab persoalan How do you feel? Yang menjadi masalahnya adalah adakah kita jujur pada diri sendiri? Kerana apa kita perlu menjadi jujur? Dan untuk apa kita harus menjadi jujur?

Pernahkan kita bertanya kepada diri sendiri siapakah aku sebenarnya? Pernahkah kita terfikir untuk apa dilahirkan di dunia ini? Jika ada, nah ESQ lah jawapannya! Sangat sukar untukku menerangkan dengan panjang lebar mengenai ESQ ini. Satu-satunya seminar yang anda tidak perlu mencatat, hanya pinjamkan telinga dan mata anda serta perhatian anda untuk memahaminya. Ia menggabungkan sains, psikologi, pengurusan, sufisme untuk memberikan pengalaman latihan kepada minda anda, badan anda dan juga jiwa anda serta lain dari yang lain. Tambahan lagi dengan penggunaan alat-alat multimedia dan sistem bunyi yang canggih.

Pada hari sabtu dan ahad yang lepas, aku telah pergi ke bangunan Matrade dimana berlangsungnya seminar ESQ angkatan ke-27. Aku pergi untuk recharge/refresh semula. Inilah kelebihan seminar ESQ ini, selepas anda menjalani training ini anda secara automatik menjadi alumni. Jadi anda juga layak untuk pergi recharge/refresh semula dengan percuma. Tidak perlu apa-apa bayaran pada bila-bila masa anda ada kelapangan. Ia adalah satu pelaburan jiwa untuk seumur hidup.Selain itu juga, ESQ ini sesuai untuk semua agama, semua kaum dan semua bangsa.


ESQ Training KL 27


Welcome to Matrade


Cantik tak?
Bangunan tu...bukan aku..



Masa ni aku dah nak balik

Sekadar itu untuk kali ini. Adios.......

Thursday, February 5, 2009

Mawi - Allah Habeebi

Siapa suka Mawi? Hehehehe.. Adyri nak kata suka tu tidaklah berapa suka. Nak kata meluat tu adalah sikit-sikit. Namun aliran muzik yang dibawa oleh Mawi ini juga sebenarnya adalah salah satu dari genre muzik yang ku suka dengar. Rentak World muzik ini memang sehaluan dengan halwa telinga Adyri, namun suara mawi ini bagiku tidak sedap. Maaf lah mawi ya, bukan hendak mengutuk akan suaramu yang telah memenangi Akademi Fantasia itu, namunku memang ku tidak suka. Suaramu itu tidak lunak . Walaupun dengan suramu itulah kau menjadi jutawan segera, ia tidaklah menyebabkanku suka kepadamu.

Memang album kali ini mempunyai kualiti yang baik bagiku dari segi susunan muziknya. Iyalah, tengoklah siapa yang mencipta lagunya, semuanya komposer-komposer terkenal tanah air. Jadinya, ku tidaklah terlalu kagum dengan pelaburan lebih seratus ribu ini. Dengan ada lagu yang telah di recycle, entah la.



Berikut adalah senarai lagu:

01. Mawi - Allah Habeebi
02. Mawi - Hijab
03. Mawi ft Brothers - Tola al Badru Alaina
04. Mawi - Serulah NamaNya
05. Mawi ft Kru - Sujud
06. Mawi - Wal-Asri
07. Mawi - Teman Hakiki
08. Mawi - Seroja

Apa-apa pun, siapa yang suka akan album ini, sila lah sedut di link ini:

Mawi - Allah Habeebi

credit to:

http://myemp3.blogspot.com

Wednesday, February 4, 2009

Tentera Darat siasat klip video komando kena dera

Assalamualaikum wbt....

Ini adalah masukan yang pertamaku tentang askar. Buat pengetahuan semua aku memang mempunyai minat dengan kehidupan askar. Aku juga merupakan seorang askar wataniah berpangkat prebet (pangkat paling rendah), kem yang aku naungi sekarang ini adalah Kem 515 Askar Wataniah. Dulu kem ini berada di Ampang, namun tahun ini kem itu bertukar berdekatan dengan KEMENTAH. Apa itu KEMENTAH? KEMENTAH ialah Kementerian Pertahanan.

Cerita kali ini adalah berkenaan berita yang disiarkan oleh TV3 mengenai komando yang didera. Aku tidak terkejut dengan laporan tersebut, malah rasa jengkel dengan wartawan yang membuat liputan tersebut. Kerana apa? Kerana kebodohan wartawan tersebut yang aku yakin dan pasti tidak mengetahui dengan kehidupan seorang askar yang sebenar.

Berikut adalah petikan dari artikel yang disiarkan oleh Berita Harian:

KUALA LUMPUR: Tentera Darat akan menjalankan siasatan terhadap jurulatih yang didakwa melakukan penderaan terhadap anggotanya dalam Rejimen Gerak Khas (Komando) seperti yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Tentera Darat sudah mengeluarkan Perintah Lembaga Penyiasatan untuk menyiasat sama ada jurulatih terbabit mengingkari garis panduan latihan yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan oleh Markas Tentera Darat, malam tadi, Tentera Darat menyebut klip video itu menunjukkan kemungkinan terdapat jurulatih yang menggunakan teknik yang keterlaluan ketika latihan dan ia perlu disiasat.

Kenyataan itu menyebut, kejadian disiarkan oleh TV3 itu adalah ketika latihan Air Gelap pada 2008, yang membabitkan Kursus Asas Komando di Pusat Latihan Peperangan Khusus.

Latihan Air Gelap itu adalah fasa latihan peringkat akhir kursus sebelum tentera terbabit layak menjadi anggota komando.

“Modul latihan itu memerlukan tahap kecergasan fizikal dan mental yang tinggi dan anggota tentera akan melaksanakan tugas sukar dalam kawasan musuh. Selepas melaksanakan misi yang ditetapkan, anggota kursus perlu berundur daripada kawasan musuh dan seterusnya mesti berusaha supaya tidak ditawan musuh.

“Dalam latihan ini, jika anggota kursus dapat ditawan musuh maka akan berlaku soal siasat yang disimulasikan oleh jurulatih. Soal siasat yang disimulasikan itu direka seakan-akan ia dalam keadaan sebenarnya.

“Ia bertujuan mendedahkan peserta kursus terhadap teknik soal siasat musuh. Ia juga menguji kecekalan anggota untuk bertahan daripada memberi maklumat yang dikehendaki musuh,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan, jurulatih perlu mematuhi prosedur tertentu untuk mengelak berlaku kecederaan fizikal dan mental kepada penuntut kursus.

“Jika terdapat perbuatan yang di luar garis panduan ditetapkan, Tentera Darat tidak akan bertolak ansur dan tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.

Memang bagi orang awam yang tidak mengetahui cerita, kisah dan kehidupan seorang askar apabila melihat video bagaimana seorang komando menjalani latihan merasakan bahawa askar ini tidak berperikemanusiaan. Jurulatih yang melatih askar-askar ini adalah kejam. Tidak ada hati perut! Dan berbagai-bagai lagi tohmahan yang akan keluar dari mulut dan fikiran mereka. Namun itulah realitinya kehidupan seorang askar, mereka ini perlu dilatih untuk menghadapi segala-galanya. Di latih untuk mengatasi batasan diri, diuji tahap fizikal dan mental mereka. Sejauh mana mereka mampu untuk menghadapinya. Itulah askar.

Pada zaman sekarang ini khususnya di Malaysia yang aman tenteram ini, kita (orang-orang muda khususnya) tidak pernah menghadapi zaman perang. Kita tidak tahu bagaimana musuh-musuh akan menyerang dan bagaimana mereka akan melayan kita. Sehubunga itu, para askar ini dilatih untuk mengahadapi situasi keadaan perang yang sebenar. Antara latihan yang paling mencabar sekali bagi askar-askar tentera darat ini adalah latihan komando. Latihan selama tiga bulan yang akan membuatkan seseorang itu boleh menjadi gila! Benar, GILA!

Menyentuh mengenai berita yang disiarkan, pada pendapat aku ia adalah sesuatu yang memalukan aku selaku seorang tentera simpanan. Ini adalah kerana kebodohan dan ketidaktahuan seorang WARTAWAN! Sengaja mencari isu-isu yang akan mendapat perhatian golongan awam mengenai berita yang disiarkannya. Mahu namanya mendapat perhatian. Mahu menjadi tersohor tentang berita liputannya.

Latihan ketenteraan tidak memerlukan liputan media sebernarnya, kecualilah ia adalah untuk mempamerkan kehebatan, kekuatan dan kebolehan tentera yang dimiliki. Pada masa itu, para media akan dijemput untuk melihat dan membuat liputan. Tetapi jika latihan itu melibatkan rahsia ketenteraan negara, ia tidak harus dibuat liputan. Malah bagi kita selaku rakyat Malaysia yang cintakan negaranya, WAJIB merahsiakannya!

Berita seperti ini pasti menjadi bahan ketawa dan ejekan tentera asing. Bahawa tentera Malaysia ini lembik, tidak kuat, penakut dan sebagainya. Kerana apa? Kerana latihan yang dijalani itu dikatakan suatu penderaan. Penderaan itu sebenarnya adalah salah satu dari bentuk latihan ketenteraan. Ia adalah penting untuk melatih tentera yang berdisiplin dan mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang mantap. Jika tentera itu tidak boleh didera, buat malu sahajalah jadi tentera.

Latihan seperti ini memanglah bagi orang awam adalah satu perkara yang tidak wajar dilakuan Justify Fullpada zaman yang mementing teknologi ini. Ia seolah-olah tidak berperikemanusiaan. Akan tetapi inilah hakikat yang perlu bagi seorang tentera. Kita tidak pernah merasa bagaimana menghadapi peperangan. Adakah kita tidak melihat dan mendengar bagaimana rejim zionis melanyak penduduk Palestin? Membunuh wanita dan kanak-kanak seolah-olah membunuh semut, yang boleh dipijak-pijak dengan kaki sahaja. Dan kita tidak tahu bagaimana nanti jika negara yang kita cintai ini akan diserang oleh musuh-musuh yang senantiasa cemburu dengan kemakmuran dan kedamaian kita kecapi hari ini?

Oleh kerana itulah tentera-tentera negara kita ini dilatih untuk berhadapan dengan situasi-situasi yang mungkin mereka akan hadapi apabila peperangan berlaku di bumi bertuah ini. Jika berlaku peperangan, mungkin penderaan (sebenarnya latihan) yang dihadapi oleh komando itu adalah hanya sekadar 10% daripada situasi sebenar yang akan dihadapi. Cuba kita bayangkan bagaimana mereka ini akan mampu mempertahankan tanah air jika latihan yang mereka jalani tidak berat, tidak kejam dan tidak perikemanusiaan? Tidak cukup lagikah dengan pendedahan media mengenai peperangan di Iraq dan Afghanistan? Bagaimana rakyat mereka dilayan oleh tentera Amerika Syarikat yang kejam itu? Mari sama-sama kita renungkan......

Adios......





Monday, February 2, 2009

Surau di Leisure Mall

Assalamualaikum wbt.......

Kali ini aku nak cerita tentang surau yang aku singgah dekat Leisure Mall. Sebenarnya tiada apa yang menarik pun tentang surau di sana. Cumanya selepas ini insyaallah aku akan menulis lagi tentang surau-surau dan masjid-masjid yang aku telah singgah untuk menunaikan kewajipan, sudah tentu tidak lain dan tidak bukan solat lima waktu itu.

Surau yang aku singgah kali ini hanya biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang menarik pun, tetapi surau itu sudah cukup untuk aku menunaikan solat asar petang tadi. Berikut adalah kriteria yang aku nilai dengan skala 1 hingga 5 (1 adalah yang paling teruk dan 5 adalah yang terbaik):

Kebersihan: ****
Keselesaan: **
Bau: **
Tempat Wuduk: *

Kenapa aku bagi tempat wuduk satu bintang sahaja kerana aku kena ambil wuduk di tempat yang jauh lebih kurang 20-30 meter dari surau (aku main agak je, tak tau la betul ke tak). Hmmm, itulah ceritanya. Surau itu memang bersih, sebab tiada sampah yang aku jumpa dan sejadah pun disusun rapi, tidak bersepah-sepah. Walau bagaimanapun, ada sedikit bau yang kurang menyenangkan (ntah la, kalau sembahyang di surau-surau pusat membeli-belah ni, bau yang kurang menyenangkan mesti ada).

Inilah tempat yang dinamakan surau di Leisure Mall, Cheras.
Malas nak komen banyak tapi tengok la peti suis dan kipas ekzos serta paip pendingi hawa.

Ruang solat

Insyaallah, surau-surau yang telah dan akan aku singgahi akan aku ceritakan lagi tentang kisahnya. Wassalam, adios..................