Friday, February 13, 2009

Puteri Gunung Ledang The Musical


Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang! Sebuah produksi hebat daripada syarikat Enfiniti kepunyaan Tiara Jacquelina, seorang sutradara yang hebat. Memang tidak rugi bagi sesiapa yang membeli tiket untuk menontonnya. Kerana itulah tiket yang dijual telah habis sebelum tayangan bermula lagi dan tayangan tambahan turut habis tiketnya bak pisang goreng panas. Mujurlah kami berlapan (aku, Afiq, Tabis, Ajib, Zila, Liza, Azi & Syafiqah) sempat membelinya. Kami membeli tiket yang paling murah sekali iaitu RM33, itu sebelum diskaun pelajar la. Selepas ditolak diskaun pelajar maka jadilah ia RM24. Mampulah kami semua beli, tidaklah terlalu mahal. Lebih kurang tiga kali tengok wayang saja. Hehehee.



Serba cukup rempah ratusnya yang perlu ada di dalam sebuah teater musikal yang telah masuk musim ketiga ini. Tidak kira dari segi apa pun, muziknya, pentas setnya, kareografi tariannya, pakaiannya dan macam-macam lagi. Sepengetahuanku, teater muzikal PGL ini adalah pembuka laluan teater muzikal di negara ini. Inilah satu-satunya teater muzikal yang mula-mula membuka mata rakyat Malaysia bahawa produksi tempatan mampu untuk menerbitkan sebuah teater muzikal bertaraf antarabangsa. Taniah kepada Tiara. Selepas teater ini, barulah terbit teater muzikal yang lain contohnya, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Ibu Zain, Impak Maksima (sekadar beberapa contoh) dan beberapa lagi.

Pementasan di pentas bertaraf antarabangsa menambahkan lagi keunikan teater ini. Istana budaya sememangnya gah dengan pementasan bertaraf antarabangsa kerana ia sememangnya dibina untuk itu. Maka tidak hairanlah pementasan ini sememangnya menarik dan penuh gilang gemilang.

Sememangnya teater ini memberi impak yang besar kepada industri teater negara. Ia memberi nafas baru kepada industri teater. Secara jujurnya, peminat teater di negara ini tidaklah ramai. Kerana itulah pembuat teater tidak boleh 'cari makan' kerana tidak mampu untuk menerbit teater tanpa tajaan-tajaan syarikat besar. Teater biasa tidak diminati oleh orang ramai lantaran kebosanan yang dirasai lantaran dialog-dialog yang panjang (ini pendapatku sahaja). Akan tetapi PGL ini memang tidak bosan, disusun dengan musik yang indah dan dialog-dialog yang ringkas, padat dan berseni.

Lenggok tari penari jawa memang memukau

Terus-terang kukatakan, aku pernah sahaja tidur sewaktu menonton teater biasa. Teater muzikal pun aku pernah tidur, inikan pula teater biasa! Mungkin ada yang berpendapat rugi kalau sudah bayar mahal-mahal tapi tidur bila menonton. Terpulanglah. Prinsip kita berbeza. Aku pernah tertidur sewaktu menonton P Ramlee The Musical, bukan kerana teater ini tidak menarik, tetapi kerana aku kepenatan. Kerana aku tidak tidur pada malam sebelumnya lantaran membuat asignment. Nak buat macam mana, kalau sudah mengantuk, mana-mana pun aku boleh terlelap. Tapi, PGL ini aku tidak terlelap walau sedikitpun.

Berbalik dengan PGL ini, jika ada kesempatan lagi memang aku ingin lagi menontonnya. Bukan sahaja PGL, apa sahaja produk keluaran Infiniti Productions aku hendak menontonnya kerana kupasti akan kualitinya memang tidak menghampakan. Aku agak bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Bukan semua orang suka akan teater ini, terima kasih ku ucapkan kepada teman-teman. Apa yang pasti, teater ini bukan sahaja ditonton oleh orang Melayu sahaja, tetapi bangsa lain turut menontonnya termasuklah bangsa asing. Ini adalah kerana teater ini turut menyediakan sari kata bahasa Inggeris. Ia turut menjadi bukti bahawa teater ini sememangnya gah, se-gah dengan namanya.

Tidak cukup dengan kata-kata untuk kucoretkan didalam blogku tentang teater ini. Kualiti dari segi lakonan, memang kupuji dalam bab ini. Bahasa tubuh yang menarik terutama kareografi tariannya.

Mak Bayan & Gusti Putri Retno Dumilah

Tiara Jacquelina & Stephen Rahman

Persembahan yang mantap dari Adlin Aman Ramli, AC Mizal & Tiara Jacquelina

Para pelakon berkumpul setelah selesai teater

Walaupun teater ini memang bagus, namun ada juga beberapa aspek yang tidak kugemari antaranya:
  • Fesyen berkemban; tidak menutup aurat tu sudah tentu, ia nampak seksi sangat.
  • Adegan Berkasih; Hang Tuah & Gusti Putri memadu berkasih yang bukan budaya kita.
  • Set Pentas Istana Melaka: Ada unsur cina, aku lebih suka unsur yang asli iaitu ukiran Melayu asli.
Sekadar itu untuk kali ini, adios.....

p/s: gambar-gambar diatas bukan aku yang ambil, aku cedok dekat sini: http://www.enfiniti.com.my/pglm3/

No comments: