Sunday, August 30, 2009

Merdeka


Apa erti kemerdekaan?
Menyambutnya dengan gembira
Dalam tawa terkinja-kinja
Melompat sana terpekik sini
Berkumpul beramai-ramai
Berseronok bercanda ria
Menonton manusia
Menjerit tiada apa isi
Menangis tiada apa makna
Menanti detik waktu keramat
Tibanya yang dikira semua

Atau hari itu dikirim salam
Tahlil dan al-fatihah
Buat para pejuang
Berusaha keras bermandi darah
Gugur di medan juang
Ada yang hidup
Namun cacat tidak berkaki
Tangannya hilang
Matanya buta
Kerana periuk kejam dan hujan berapi
Musnahlah segala

Apa erti kemerdekaan?
Buat kami generasi ini
Oh, menghayatinya sungguh sukar

Thursday, August 27, 2009

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir

Assalamualaikum Wbt...

Artikel ini saya ambil dari blog ustaz Zaharuddin. Artikel ini adalah kesinambungan dari tulisan saya sebelum ini iaitu Kartika oh Kartika.

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

  • Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]
  • Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
  • Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
  • Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
  • Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

  • DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

  • DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

  • DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.



Wednesday, August 26, 2009

Kartika oh Kartika

Assalamualaikum Wbt...


Aku tak paham ape nak jadi dengan Malaysia ni. Dulu dengan bangganya mengishtiharkan bahawa Malaysia ni adalah negara Islam. Sekarang ni nak laksanakan hukuman sebat ke atas seorang wanita kerana minum arak pun bukan main susah lagi. Tolak sana tolak sini, macam-macam alasan dan polemik yang berlaku kerana si Kartika ni.

Si Shahrizat


Terang lagi bersuluh yang beliau ni tak ada ilmu tentang sebatan dalam islam. Beliau dok sokong supaya hukuman sebatan ke atas Kartika di tangguhkan dan kalau boleh tidak perlu diteruskan. Bagiku sangat bahaya wujudnya orang begini dalam negara kita. Sila baca artikel surat khabar disini dan sini. Tang mana wanita diremehkan pun aku tak tau.

Yang takut sangat dengan media antarabangsa tu kenapa? Sepatutnya beliaulah yang memberikan penerangan yang jelas tentang pelaksanaan hukum syariah di negara ini. "Namun saya terkilan laporan media asing menggambarkan seolah-olah pentadbiran undang-undang syariah di Malaysia zalim terutama kepada wanita. Sedangkan ini adalah satu kes saja," katanya. Hello! Awak sepatutnya memberikan penerangan yang jelas kepada mereka. Rakyat bayar mahal-mahal gaji takkan suruh cakap saya terkilan je.

Wanita dihukum kerana minum arak itu suatu perkara yang meremehkan ke? Ke beliau sokong supaya semua wanita Islam di negara kita supaya minum arak terang-terangan? Sungguh aku tak faham.

Kalau tak silap beliau juga terlibat dalam menyusahkan urusan untuk kahwin untuk isteri kedua dan seterusnya di wilayah persekutuan. Banyak implikasi yang berlaku atas peraturan ini seperti kahwin lari, kahwin di Siam, memalsukan tandatangan dan sebagainya. Sedangkan hak kahwin itu ke atas lelaki. Mungkin beliau risau jika berlaku penceraian apa akan berlaku terhadap isteri. Bukankah sudah ada peraturan, gunalah peraturan itu sebaiknya. Kuat kuasakannya dengan baik.

Kita ada pihak yang berautoriti, gunalah ia sebaiknya. Jika si lelaki itu lari ke atau sebagainya, takkan polis tidak mampu nak cari. Kata PDRM kita ni bagus, suruhla polis cari sebaiknya.

Nota: Secara peribadi aku tak suka si shahrizat ini. Pemikirannya sangat merisaukan!

Jabatan Penjara tiada pakar sebatan syariah

Ni keluar pulak kenyataan dari Dato' Seri Hishamuddin, Menteri Dalam Negeri cakap bahawa Jabatan Penjara tiada pakar sebatan syariah. Wahai Dato' Seri kesayangan ramai, kalau Dato' cakap kita harus import pakar sebatan dari negara Saudi contohnya untuk menyebat si Kartika dan juga melatih para pegawai untuk sebatan bagi hukuman mahkamah syariah kan senang sikit ceritanya. Dato' cakap on je, para pegawai bawahan Dato' Seri akan cepat-cepat uruskannya. Dato' mesti tak pening kepala lah.

Pendakwa dakwa Penjara Kajang halang hukuman sebat

Ni kes politik namanya. Ada orang atas cakap tidak boleh terima si Kartika kat Kajang, lalu si penurut arahan pun melaksanakanlah arahan ini. Kalau tidak ada arahan, masakan tak boleh terima. Sila baca disini.

Sebatan tidak ancam nyawa - Harussani

Memang tidak mengancam nyawa pun. Dah la 6 sebatan je, sebatan syariah ni memang tidak boleh angkat ketiak. Cuba la try buat sendiri, rasanya kalau berbekas tu sikit je kot. Tak sampai satu hari dah boleh hilang bekasnya. Bukannya sebat macam kes sivil, sekali sebat bekasnya takkan hilang seumur hidup wei! Sekarang ni siapa yang kejam sebenarnya?

Kesimpulan

Aku percaya ada orang (tak kiralah menteri ke pengarah mana ke) yang tidak suka perkara ini berlaku terlibat. Kalian tanggunglah kat akhirat nanti. Aku dah luahkan kat blog ni yang aku tidak suka perkara macam ini berlaku. Setakat ini sahaja yang aku mampu lakukan. Ya Allah, dengan keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, yang mana hanya kau sajalah yang layak memberikan pahala kepada orang yang berpuasa, kau berikanlah hidayah dan petunjuk kepada orang yang terlibat dalan kes Kartika ini. Sesungguhnya hamba-Mu ini tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya. Amin.....

Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadan Kareem



Salam Ramadan
Bulan penuh kemuliaan dan keberkatan
Bulan yang dinantikan
Bagi insan yang bertaqwa dan beriman
Sama-sama mengerjakan
Sama sama mendirikan
Menunggu malam seribu bulan
Menjadi idaman
Melipatgandakan amalan
Memberi dan bersedekah jadi titipan
Buat mereka yang memerlukan
Ramadan Al-Mubarak bulan keagungan

Festival Nasyid IPGM Zon Tengah

Assalamualaikum Wbt...

Segala puji bagi tuhan sekelian alam, tuhan yang maha pemurah, maha pemberi rezeki dan maha segala-galanya.

Semalam 19 Ogos 2009 bertempat di Balai Budaya, Ipoh berlangsungnya Festival Nasyid IPGM Zon Tengah. Banyak kenangan yang berlaku.

Demam

Kami bertolak ke Ipoh pada hari selasa dan tiba di Sun Inns Hotel (tidur dalam dorm) untuk bermalam. Kebetulan apabila sampai hujan turun agak lebat, aku main redah je hujan tu lepas tu tak terus mandi. Malamnya badan rasa panas dan tekak rasa perit, rasa ada kahak melekat dekat tekak.

Sangat risau, takut tak boleh menyanyi pada esoknya. Bangun pagi, badan masih panas. Tekak pun rasa makin teruk. Aku cuba minum banyak air, sampai kencing pun banyak kali masa kat Balai Budaya. hehehe...

Johan

Terharu, dapat johan. Pengarah pun datang.
Bergambar selepas habis acara.

Semasa latihan, kami akan cuba untuk set masa dan aku akan cakap begini:

"Majlis mempersilakan kumpulan yang mendapat giliran ketiga untuk membuat persembahan, majlis mempersilakan!"

Tup, tup giliran kami memang nombor 3 dari 5 kumpulan. Seronok sebenarnya, ya lah tidak terlalu awal dan tidak terlalu akhir. Tengah-tengah.

Alhamdulillah, hasil usaha dan penat lelah akhirnya berbaloi apabila berjaya dinobatkan sebagai johan peringkat zon tengah. Aku tidaklah terlalu mengharap sangat sebenarnya tapi alhamdulillah sudah rezeki.

Inilah antara hadiah hari lahir yang manis buatku. Terima kasih buat rakan-rakan kerana dapat membuat persembahan dengan terbaik. Jasa kalian tidak akan kulupakan.

Minta maaf jika selalu kena bebel kerana selalu datang lambat dan selalu main-main semasa latihan dan macam-macam lagi. Tapi aku tahu kita memang ada harapan kerana anda semua sudah ada pengalaman dan memang berbakat. Tanpa kerjasama satu kumpulan, amat susah untuk kita menjadi johan. Masing-masing ada peranan masing, saling lengkap melengkapi.

Akhirnya doakan kami semua untuk dapat sesuatu pada peringkat kebangsaan di IPGM Kampus Islam, Bangi pada bulan Oktober nanti.

Adios....

Monday, August 17, 2009

Ipoh Mali

Assalamualaikum Wbt...

Esok aku akan ke Ipoh, Perak Darul Redzuan. Pergi untuk Festival Nasyid IPGM 2009 peringkat zon tengah. Pertandinagn peringkat zon ini mengandungi 6 buah IPGM keseluruhannya tetapi hanya 5 buah IPGM sahaja yang akan bertanding kerana IPGM kampus Islam Bangi mendapat 'bye' kerana menjadi tuan rumah peringkat kebangsaan.

Hajat di hati nak bawa piala pulang ke institut, tapi tak tau la macam mana kan. Doakan kami bersepuluh berjaya membuat persembahan yang akan memukau hakim pada hari rabu nanti. Doakan juga kami semua sihat dan mampu untuk memberikan yang terbaik. Tidak ada bantahan daripada mana-mana pihak dan sebagainya.

Pertandingan itu juga jatuh pada hari lahirku yang ke 23. Moga ada kenangan yang baik pada hari tersebut.

Sempena ramadhan yang bakal menjelma, daku mengucapkan salam ramadhan al-kareem untuk semua pembaca. Tak lupa juga salam kemerdekaan sempena bulan kemerdekaan yang disambut pada bulan Ogos setiap tahun.

Wednesday, August 12, 2009

Praktikum Fasa 2 : Cerita 1

Assalamualaikum Wbt..

Hari pertama mahu ke sekolah disambut
dengan kabus pagi di pintu pagar rumah atuk

Pada tarikh 10 Ogos yang lalu, bermulalah praktikum fasa kedua bagiku dan rakan-rakan selama 3 bulan sehinggalah bulan 11 nanti. Bermulalah juga penyesuaian diri dari kelas selama 2 jam seminggu kepada kelas sekurang-kurangnya 6 jam sehari.

Rutin Harian

  • Bangun pagi: 6.15 pagi.
  • Pergi ke sekolah jam 7.10pagi menaiki motorku dengan halaju maksimum 40kmj. Sambil menghirup udara nyaman yang berkabus di kampung Sungai Lui ini. Amat tenang dan mendamaikan.
  • 1.15 ptg balik dari sekolah dan bersiap untuk ke institut untuk latihan nasyid. Insya allah, pertandingan nasyid IPGM peringkat zon tengah akan diadakan pada 19 Ogos ini (doakan kami menjadi johan untuk ke peringkat kebangsaan). Jadi aku terpaksa berulang alik dari institut dan Kg Sg. Lui setiap hari hinggalah minggu depan.
  • 7-8 mlm, tiba di rumah atuk dari cheras, setelah lebih kurang setengah jam 'merempit' melalui lebuhraya Cheras - Sg. Lui. Jalan yang berlubang-lubang, banyak selekoh maut, kenderaan besar seperti lori dan bas, dan tidak lupa juga dengan rakan-rakan 'seperempitan'.
  • 9.15 mlm, makan malam bersama-sama. Tonton televisyen dan menyiapkan RPH (Rancangan Pengajaran Harian).
  • 12 mlm, bersiap-siap untuk tidur.
Beberapa hari ini, hujan turun setiap pagi. Sejuk, dan memang best la tidur.


Apa yang aku rasa?

Penat, sebab berulang alik dan juga menguruskan latihan nasyid. Agak sukar sebenarnya menguruskan manusia ini. Membeli pakaian, menguruskan jadual latihan, berurusan dengan pensyarah yang berkenaan dan yang tidak berkenaan, memberitahuan waktu latihan, memanggil ahli untuk latihan, bermesej untuk bertanya di manakah anda, pukul berapa nak datang latihan. Kenapa tidak datang latihan.

Semua tu aku kena buat, yang bab datang latihan tu yang aku sakit hati sikit. Bila kita dah bagitahu pukul sekian-sekian ada latihan bila tiba waktunya hanya dua tiga ketul saja yang sampai awal. Lepas tu, jika lewat atau tidak dapat datang awal bukannya nak beritahu. Bukan susah pun hanya hantar mesej saja, "Yus, aku ada hal kejap, aku lewat 10 minit". Itu saja. Tidak susah pun. Dan aku ni bukannya kejam sangat, nak kata tak bagi.

Mujurlah di sekolah tidak ada apa-apa masalah setakat ini. Jadual waktu pun agak senang lenang dengan 6 waktu KH dan 2 waktu PJ. Itu pun tinggal 4 masa kerana budak tahun enam menggunakan jadual anjal di mana hanya subjek peperiksaan di ajar. Cuma murid-murid saja yang susah dan sukar sedikit untuk menerima arahan. Aku harus berusaha lebih gigih untuk mengambil hati mereka.

Badan agak letih sedikit kerana dalam proses penyesuaian. Walaubagaimanapun, perut rasa semakin ketat lantaran tidak bersukan dan makan telah dijaga oleh nenekku. Pagi minum, di sekolah makan, balik rumah makan lagi, lepas tu makan malam. Berapa kali makan? Huhuhuhu...

Doakan aku berupaya melalui praktikum ini dan berjaya menyudahkannya dengan jayanya. Sehingga ke entry yang seterusnya, adios....

Saturday, August 8, 2009

Arak: Selangor tidak larang

Assalamualaikum Wbt...

Tajuk entry kali ini adalah komen mengenai keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri selangor untuk melaksanakan 'kawalan sendiri' mengenai penjualan arak kepada orang ramai. Sila klik disini untuk membaca selanjutnya.

Aku selaku orang yang beragama islam yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya ingin menyatakan rasa kurang senang dan tidak bersetuju atas keputusan ini.

Kenapa hanya kita yang harus menjaga hak mereka sedangkan hak kita ini selalu saja di abaikan? Tidak pernah dipeduli. Selalu dianak tirikan. Sungguh aku tidak faham. Kaum-kaum lain sememangnya memahami dan menghormati agama islam, tetapi orang islam sendiri bagaimana? Selalu memikirkan hati dan perasan orang yang bukan islam sedangkan diri sendiri telah menindas diri mereka sendiri seperti keputusan kali ini.

Berilah apa alasan sekalipun untuk meneruskan kawalan sendiri ini, aku tidak setuju dan membantah. Bukan untuk menyokong kepada mana-mana pihak, tapi atas rasa iman ini masih tersisa sedikit di dalam dada ini.

Ya Allah kau bukakanlah hati-hati pemimpin kami dengan kebenaran agama-Mu. Berilah mereka kesedaran bahawa agama-Mu itu benar dan merupakan satu jalan hidup. Tidak terganggu gugat dengan apa sekalipun.

* Minta maaf jika fakta yang disiarkan oleh akhbar rujukan aku tidak tepat. Jika tidak tepat, maka secara automatik terbatallah kritikan aku ini.

Friday, August 7, 2009

Hari-Hari Mendatang

Assalamualaikum Wbt...

Aku akan menjadi semakin sibuk pada bulan-bulan yang mendatang ini. Pertama sekali adalah Praktikum Fasa 2 yang akan bermula hari isnin ini sehinggalah seminggu sebelum cuti sekolah hujung tahun. Dan aku pasti hari-hari mendatang ini pasti mecabar kredibiliti aku sebagai guru pelatih dari segi mental dan juga fizikal.

InsyaAllah tak sampai dua minggu lagi akan ada Festival Nasyid IPGM Peringkat Zon Tengah di Ipoh, aku turut terlibat dan harap-haraplah berjaya ke peringkat kebangsaan. Maka, aku akan berulang-alik dari Sungai Lui, Hulu Langat yang sejauh 30Km itu dari Cheras setiap hari untuk latihan nasyid.

Aku pun tidak tahu samada aku mampu atau tidak untuk berulang-alik sejauh 60Km sehari. Moga-moga di permudahkan.

Praktikum kali ini pastinya banyak aktiviti yang akan dilakukan di sekolah, dan aku dengan Syukri pasti akan menjadi pilihan guru-guru di sana untuk menolong menjayakan aktiviti tersebut. Aku tidak kisah sangat sebenarnya asalkan mendapat kerjasama daripada semua pihak. Dan aku juga memang tahu guru-guru SKSL sememangnya memberi kerjasama yang penuh kepada kami berdua.

Adakah aku akan menjadi seperti ini nanti? Oh tidaaak...

Moga hari-hari mendatang tidak menjadi hari-hari rusuhan.

Sekian, adios.....

Sunday, August 2, 2009

Pulau Pangkor: BIG Kopeda

Assalamualaikum Wbt...

Penat. Itulah kata yang sesuai untuk masukan kali ini. BIG ataupun Bina Insan Guru untuk para guru pelatih di perkenalkan untuk menguji keupayaan fizikal dan mental para bakal guru. Tujuannya adalah untuk memastikan semasa proses pembelajaran ini ada sesuatu pengalaman dan ilmu yang berguna akan dikutip semasa setiap kali sesuatu aktiviti di jalankan.


Kali ini aku bukanlah menjadi peserta BIG, tetapi sebagai fasilitator ataupun jurulatih kepada para pelajar Kolej Pendidikan Perdana (jika aku tidak salah). Ini adalah daripada jemputan En. Shaari lantaran orang yang sepatutnya pergi tidak dapat menyertainya. Kiranya aku ini sebagai bidan terjun sajalah.

Inilah kali kedua aku ke Pulau Pangkor, kali pertama adalah semasa melakukan Pendidikan Luan (PL) bersama teman-teman sekursus. Jadi pemergian kali ini tidaklah seteruja kali pertama yang lepas.

Hari Pertama: Jumaat

Perjalanan di mulakan dari IPGM Kampus Pendidikan Teknik seawal jam 8.30 pagi dengan mercedes kepunyaan En Shaari. Sampai di Lumut kira-kira pukul 12.30 tgh. Kami berempat (aku, Pakcik Mat Nuar, En Shaari dan anaknya) menunggu ketibaan para pelajar Kolej Kopeda yang meniki bas dari Puduraya dan di jangkakan tiba jam 1 tgh.

Selepas makan tengahari kami bertolak ke Pulau Pangkor menaiki feri dengan tambang pergi dan balik Rm 8 seorang. Seterusnya kami menaiki van terus ke Raudhah Camp, Teluk Dalam (kalau tak silap, takpun teluk nipah).

Raudhah Camp

Aktiviti pada petang hari adalah keyakinan air (water confident) di pantai. Para pelajar di bekalkan jaket keselamatan dan juga set snorkel (snorkeling set) setiap seorang. Memang dapat di lihat dari reaksi mereka memang ada yang penakut dan tidak berani.

Selain tidak pandai berenang, ada daripada mereka ini agak mudah panik. Mudah panik merupakan masalah besar untuk aktiviti air. Inilah sebab mengapa aktiviti keyakinan air di lakukan awal-awal untuk menyediakan mereka untuk aktiviti seterusnya iaitu snorkel. Pada pagi keesokannya mereka ini akan dibawa ke Pulau Gami untuk melihat ikan-ikan di pulau tersebut.

Pada sebelah malamnya iaitu selepas makan malam, aktiviti pertama ialah melukis bendera kumpulan serta motto. Aktiviti seterusnya adalah Berjalan Malam (Night Walk). Aktiviti ini dilakukan di dalam Hutan Simpan Sg Pinang bersebelahan dengan Kem Raudhah.

Sebelum aktiviti dilakukan, kami bertiga selaku jurulatih memeriksa trek yang akan di lalui oleh pelajar ini adalah selamat dan tidak berbahaya. Kami memasang tali yang akan di jadikan panduan semasa berjalan malam.

Aktiviti ini memerlukan para pelajar untuk tidak membawa sebarang alat yang bercahaya. Tujuannya adalah untuk menguji keberanian para peserta selain menguji kejujuran mereka kerana para peserta akan di lepaskan seorang demi seorang.

Hari Kedua: Sabtu

Aktiviti pertama hari ini adalah aktiviti snorkel di Pulau Gami. Di sinilah keyakinan air para pelajar diuji dan pastinya mereka menjadi lebih baik dan lebih yakin bila berada di dalam air. Ada yang sudah berani untuk pergi lebih jauh ke tengan laut (masih dalam kawasan yang dibenarkan) untuk snorkel. Aku cuba untuk membuat provokasi dengan mengatakan bahawa tiada guna mereka bayar mahal-mahal hanya untuk duduk dekat batu saja.

Ada beberapa kes yang berlaku, yang pertama ialah seorang pelajar sesak nafas kerana di serang asma. Mujurlah tiada perkara yang tidak di ingini berlaku. Kedua, peralatan snorkel hilang termasuklah kepunyaanku. Aku tidak sedar akan paip yang bersambung dengan mulut hilang di dalam air. Namun akhirnya semua peralatan yang hilang itu di jumpai dan mujurlah tiada orang yang mengambilnya.

Lapangan Terbang

Selepas makan tengahari adalah aktiviti kembara hutan. Check point pertama ialah dari kem ke lapangan terbang dan check point kedua pula dari lapangan terbang menuju ke air terjun dan terus ke kem semula. Untuk check point kedua aku tidak dapat sama-sama menyertai mereka kerana menghadapi sedikit masalah (sakit perut). Jadi aku tidak dapat menyertai mereka dan mengambil keputusan menolong Pakcik Nuar menyediakan makan malam (BBQ). Menunya adalah: Nasi Minyak (tentulah aku yang buat), sosej + ayam + ikan BBQ, coeslaw dan buah-buahan.

Pakcik Mat Nuar bersungguh-sungguh memberikan taklimat

Selepas itu mereka mengadakan persembahan kumpulan masing-masing. Di ikuti dengan persembahan oleh jurulatih termasuklah karaoke. Seumur hiduku inilah kali ketiga aku berkaraoke. Bukan tidak boleh menyanyi, cuma aku menghadapi masalah dari segi tempo. Majlis tamat kira-kira 12 malam.

Hari Ketiga: Ahad

Hari ketiga dimulakan dengan semua orang bangun lambat. Lebih kurang pukul 7.30 pagi aku bersama Pakcik Nuar menuju ke Kota Belanda (ada nama lain, aku dah lupa) untuk bersarapan pagi. Menunya roti canai telur goyang dalam. Hahahaha, kelakar tak namanya. Sebenarnya roti canai bersama telur goreng mata di lekatkan bersama-sama dan telur kuning masih cair.

Selepas itu kami membeli beberapa barang untuk majlis penutup dan barang yang aku ingin bawa balik ke KL seperti ikan bilis dan ikan kering.

Acara penutup habis pada jam 12 tengahari dan kami bertolak ke jeti pada jam 1 petang sebelum sampai ke jeti lumut jam 3.30 ptg. Selepas itu aku bertolak pulang ke KL.

Selamat tinggal lumut, entah bila ku kan kembali

Pengajaran

  1. Aku tidak boleh fikir bahawa pengalaman dan kemahiran orang lain adalah sama denganku. Ada yang baru pertama kali melakukan aktiviti luar, jadi penerangan haruslah lebih jelas dan teratur.
  2. Input yang ingin di sampaikan bukanlah para peserta harus berjaya menyudahkan sesuatu aktiviti itu dengan cepat dan berjaya, tetapi adalah proses pembelajaran yang mereka lalui semasa melakukan aktiviti. Mereka belajar sesuatu semasa aktiviti tersebut.
  3. Kadang-kadang nilai-nilai yang kecil sudah memadai untuk membuat seseorang itu menghargai kita. Dan kita haruslah menyatakan perasaan penghargaan kita itu, bukan sekadar menyatakannya di dalam hati sahaja.

Adios............