Tuesday, March 31, 2009

Earth Hour: TNB catat kejatuhan guna tenaga


Assalamualaikum...
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih..

Alhamdulillah, Earth Hour yang telah dilaksanakan pada hari sabtu yang lepas membawa sedikit perubahan dan kesedaran kepada semua penduduk di Malaysia ini. Hal ini adalah kerana TNB mencatat kejatuhan penggunaan tenaga pada hari tersebut. Berikut adalah petikan dari akhbar Utusan Malaysia:

KUALA LUMPUR 30 Mac - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) hari ini berkata, ia menerima kenyataan bahawa kempen Earth Hour bertujuan baik walaupun penggunaan tenaga elektrik jatuh sebanyak 550 megawatt (mw), bersamaan dengan 14 juta mentol kalimantang yang berkuasa 40watt setiap satu.

"Sementara penurunan kecil dalam permintaan akan menyebabkan sedikit kekurangan dalam hasil, kami menerima kenyataan bahawa kempen itu mempunyai tujuan yang baik," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semasa tempoh sejam inisiatif pemeliharaan tenaga (8.30 malam hingga 9.30 malam) Sabtu lepas, kakitangan TNB sentiasa berwaspada terhadap sebarang masalah operasi.

"Semuanya berjalan lancar dan kami mampu memberikan reaksi kepada permintaan yang sedikit rendah tanpa menimbulkan gangguan dalam operasi." katanya.

Katanya, TNB tidak menyangka dengan sokongan dan penghargaan yang ditunjukkan oleh kebanyakan pelanggan mereka berhubung kempen yang disertai oleh masyarakat di seluruh dunia.

"Permintaan memuncak begitu cepat pada pukul 9.30 malam mengikut pola permintaan yang biasa pada petang Sabtu," katanya

KLCC sebelum

KLCC selepas

Aku harapkan ini akan memberikan kesedaran kepada semua pihak agar dapat menjaga Bumi yang kita duduki ini dengan sebaiknya. Marilah kita supaya tidak mencemarkan alam ini. Contoh yang paling mudah adalah dengan menutup suis lampu atau kipas apabila tidak digunakan. Atau tidak membuang sampah ke dalam sungai.

Pernah tak kita pergi ke tepi sungai atau laut, apa yang dapat kita lihat? Ya, sampah yang penuh di tepi-tepi pantai. Mungkin ada yang berkata, "Eh, mana ada sampah dekat tepi pantai! Aku pergi tengok cantik je, bersih je" Yang kita pergi tu dekat pantai atau tempat pusat peranginan yang mana memang ada orang yang menjaganya.

Setiap hari ada orang yang sapu sampahnya. Cuba pergi ke pantai yang tidak berapa terkenal, yang tidak ada orang menjaganya. Mesti penuh dengan sampah terutamanya plastik-plastik makanan yang dibuang merata-rata tempat.

Jika kita pergi berkelah, tidak kiralah dimana-mana pun, sila pastikan kita membuang sampah di tempat yang disediakan. Jika tidak ada tong sampah di sekitar kawasan tersebut, apalah kiranya kita membawa balik sampah tersebut. Apabila sampai di rumah atau di pertengahan jalan bertemu tong sampah, barulah kita buang sampah tersebut.

Sekian saja kelas sivik hari ini. Lain hari kita sambung lagi ye.

Adios....

p/s: Hari khamis ni start praktikum, mungkin blog ini akan bersawang dan mungkin juga tidak. Tengoklah bagaimana nanti.

Tuesday, March 24, 2009

Aku & Praktikum


Assalamualaikum wbt...

Praktikum yang akan aku jalani akan berlangsung selama dua bulan bermula 2 April ini. Memang tidak lama lagi lebih kurang seminggu lebih sahaja. Apa yang aku lakukan? Langsung tidak ada persediaan dari segi mental dan fizikal. Aku pasrah. Rasa kelakar bila cakap aku pasrah. Tapi itulah hakikatnya, aku memang tidak membuat persediaan langsung. Harap-harap sempat lah mencari-cari bahan untuk masuk ke kelas nanti.

Mengajar manusia tidaklah seperti mengetuk-ngetuk mesin di bengkel atau menaip-naip papan kekunci di komputer unutk memberi arahan. Itulah sukarnya manusia dan indahnya manusia. Membentuk manusia supaya menjadi manusia yang sebenar-benarnya adalah sukar.

Aku berharap aku berupaya menjadi pendidik yang mampu membawa perubahan kepada anak didiknya. Bagiku, pengalaman adalah ilmu yang sangat kritikal kepadaku sebagai bakal guru yang akan keluar mengajar tahun hadapan.

Serupa inikah bakal sekolah pertamaku yang akan ku berbakti?

Rasanya sangat sekejap lima tahun setengah, masa yang diperuntukkan untuk memperoleh sekeping kertas yang mengiktiraf karierku sebagai seorang guru. Sekeping kertas yang membezakan tahap pendidikan dan profesional seseorang. Untuk mendapatkannya, akan diadakan satu majlis besar-besaran dengan orangnya memakai jubah yang selalu bertukar empunya setiap tahun. Kaum keluarga dari jauh sanggup datang menemani sang anak atau abang, mahupun kakak menerima sekeping kertas keramat ini.

Balik semula dengan praktikum, aku akan membuat praktikum pertamaku di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, Hulu langat. Rasa berdebar-debar juga, namu dengan kehadiran rakan seorang lagi yang sama-sama menjalani praktikum menyebabkan aku kurang debarnya.

Iyalah, kalau berbanding seorang diri, berteman lebih meyakinkan. Aku ni memang susah untuk menjadi seorang yang peramah. Susah! Mungkin ada yang tidak percaya yang aku ni tidak berapa peramah. Agak susah untuk aku memulakan sesuatu perbualan jika orang lain tidak memulakannya dahulu.

Tapi, jika sudah kenal insya allah memang tidak ada masalah. Bagiku peramah ini amat penting bagi orang baru, supaya tidak nampak sombong di mata orang lain. Harap-harap aku boleh ubah perangai aku ini. Susah memang susah.

Semoga praktikum ini dapat memberikan aku sebanyak mungkin ilmu yang diperlukan sebagi seorang guru. Amin..

Adios.....

Sunday, March 22, 2009

Earth Hour 2009


Earth Hour adalah sebuah acara tahunan peringkat antarabangsa yang diadakan oleh WWF (World Wide Fund for Nature/World Wildlife Fund), ia diadakan setiap Sabtu terakhir bulan Mac, yang meminta setiap rumah dan pejabat untuk mematikan lampu yang tidak diperlukan dan peralatan elektrik selama satu jam untuk meningkatkan kesedaran akan perlunya mengambil tindakan menghadapi perubahan iklim.

Ianya dirintis oleh WWF Australia dan Sydney Morning Herald tahun 2007, dan menjadi ikutan dunia pada tahun 2008. Earth Hour berikutnya akan dilakukan pada hari Sabtu, 28 Mac 2009 pukul 8:30 malam, waktu tempatan

Pada waktu ini, 80 negara dan 750 bandar 'bergabung dengan Earth Hour 2009', satu peningkatan yang drastik dari orang-orang yang turut serta di 35 negara untuk Earth Hour 2008. 1 bilion 'suara' adalah tujuan utama untuk Earth Hour 2009, dalam konteks menjelang Konferens Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu 2009.

Acara ini adalah bertujuan mengurangkan pengeluaran karbon dan pengurangan penggunaan elektrik secara keseluruhan. Perlu diketahui bahawa Earth Hour sangat mirip dengan Earth Day Energy Fast, yang sejak 1991 hingga 2007 yang merencanakan tidak menggunakan tenaga buatan setiap kali Earth Day. Earth Day Energy Fast ditutup tahun 2008 setelah pengasasnya menyatakan "sudah terlambat" untuk kempen seperti ini untuk memberikan impak yang bermakna.

Konferen Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Perubahan Iklim di Bali menjadikannya jelas bahawa penandatangan Protokol Kyoto menyetujui bahawa pengurangan pengeluaran karbon mulai 25 hingga 40% dapat dilakukan pada 2020 untuk mengurangi impak pemanasan global yang mengakibatkan peningkatan aras laut dan masalah lainnya.

Dalam konteks tersebut Earth Hour merupakan satu titik tolak terbaiknya untuk menyedarkan kembali manusia untuk maju ke tahap berikutnya seperti beralih ke tenaga hijau dari sumber seperti tenaga angin dan tenaga solar dan tidak menggunakan elektrik yang dihasilkan melalui pembakaran bahan bakar fosil seperti arang batu, gas asli dan petroleum.

Apa yang kita harus buat pada Sabtu, 28 Mac 2009 pukul 8:30 malam?

  • Tutup peralatan elektrik seperti lampu, kipas, komputer dan sebagainya. Itupun jika penggunaan waktu tersebut adalah tidak penting pada waktu itu.
  • Ajak rakan-rakan untuk menyertainya sekali.
  • Sebarkan kepada semua rakan-rakan anda, keluarga, jiran dan sebagainya.





Marilah sama-sama kita jayakan usaha yang murni ini, walaupun nampak kecil dan tidak bermakna, tetapi jika semua orang terlibat ia akan membawa impak yang besar pada keseluruhannya.

Tetapi awas, haruslah diingat jika rumah atau kawasan anda selalu terdedah pada bahaya contohnya kerap berlaku kecurian, tutuplah lampu yang perlu sahaja dan janganlah bergelap segelap-gelapnya dan mengundang bahaya kepada diri sendiri.

Akhir sekali, apa salahnya pada waktu itu kita menutup sebentar lampu, komputer, televisyen, radio dan perkakas elektrik yang lain dalam masa satu jam sahaja. Semoga ia memberi impak dan makna yang besar kepada kita.

Sekian, adios......

p/s: yang kaler biru-biru tu aku ambil dari wikipedia.

Tuesday, March 10, 2009

Teater Sirah Junjungan; Tahajud Cinta

Salam,

Malam tadi aku pergi menonton teater Sirah Junjungan; Tahajud Cinta karya Erma Fatima. Karya yang mengisahkan sejarah Rasulullah saw dari sebelum baginda lahir hinggalah baginda wafat. Padaku memang berbaloi bagiku menonton teater ini walaupun harga tiket tidak dapat diskaun pelajar, namun bagiku ia tetap berbaloi.


Amat jarang teater islamik dipentaskan di Malaysia ini, lagi-lagi di Istana Budaya. Jadi aku ambil kesempatan untuk menontonnya. Kalau di ikutkan tiketnya yang berharga Rm31.50 agak mahal bagiku, tapi apalah sangat harganya untuk aku menyemai rasa cinta pada junjungan besar nabi Muhammad yang amt dikasihi.

Barisan pelakon teater muzikal Sirah Junjungan bergambar
kenangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. (mstar)


Memang ada orang berkata bahawa teater ini membosankan kerana jalan cerita yang tidak menarik. Aku memang pelik orang yang berkata begini, ini adalah sejarah nabi Muhammad dan tidak harus ada tokok tambahnya. Apa yang dimaksudkan 'menarik ' oleh golongan ini pun aku tidak tahu.

Apa yang best:
  1. Malam tadi memang ramai orang-orang besar negara dan artis-artis yang datang. Antaranya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, Pengarah Jakim, Pengasas ESQ Dr Ari Ginanjar Agustian dan lain-lain lagi.
  2. Latar muzik yang hebat kerana diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.
  3. Nyanyian yang sangat merdu, secara kebetulan Siti Nurhaliza turut menyanyi pada malam tadi sedangkan jadual beliau adalah pada hari lain. Mungkin kerana orang besar negara turut menonton menyebabkan beliau menyanyi. Tidak lupa juga kepada Salleh (Brothers) dan juga Jamal Abdillah. Memang persembahan yang mantap dari mereka berdua.
  4. Lakonan yang berjaya oleh para pelakonnya.
Bilal Bin Rabah di seksa kerana memeluk islam (sumber)

Para pemimpin Quraisy bermesyuarat
bagaimana untuk membunuh Muhammad

Orang Arab Quraisy sanggup memecah masuk
ke rumah nabi Muhammad untuk membunuh beliau,
tapi apakan daya Ali berada di atas katil

Apa yang tak best:
  1. Pergerakan pelakon yang tidak teratur, keluar masuk probs yang tidak menarik. Kena menuntut dengan Tiara Jaquelina ni.
  2. Sebutan arab yang tidak betul antaranya ialah apabila mengucap kalimah syahadah tidak tepat sebutannya. Bahaya ni, dah lama jadi orang islam takkan la mengucap pun tak reti kan?
  3. Ada sesetengah baju yang digunakan tidak menunjukkan suasana sebenar orang arab pada zaman tersebut. Baju mereka terlalu cantik untuk beberapa babak.
  4. Dialog yang panjang, mudah menyebabkan penonton bosan.
  5. Beberapa kareografi tarian yang tidak selaras atau serentak yang mencacatkan pergerakan. Mungkin tidak cukup masa latihan.
Walaupun tidak menerima tajaan dari syarikat-syarikat besar, hasrat Erma untuk meneruskan teater ini haruslah dipuji. Semoga pementasan yang akan datang akan lebih menarik lagi.

Sekian, adios...

Monday, March 9, 2009

Apa Aku Buat?

Assalamualaikum Wbt.

Ada beberapa aktiviti yang aku buat minggu lepas dan 2 minggu lepas. Tak sempat nak kemaskini, jadi minggu ini ada cuti lebih satu hari bolehlah aku kemas kini blog ini.

Konvensyen Patriotisme Remaja 2009: 26 Februari 2009

PICC tersergam indah di atas bukit

Konvensyen ini diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Sebenarnya aku sendiri yang menawarkan diri untuk menghadiri konvensyen ini setelah membaca notis. Walaupun institut telah menentukan wakil kelas mana yang harus hadir, aku dengan rela hati menawarkan diri untuk menghadirkan diri.

Lebih kurang 2000 peserta terdiri dari pelbagai agensi

Selain untuk menambahkan ilmu di dada, tujuanku yang lain adalah untuk pergi sendiri ke PICC. Itulah kali pertama aku pergi ke PICC. Itu yang menyebabkan aku menawarkan diri untuk hadir. Secara kebetulan pula kuliah tidak ada hari itu, jadi senanglah untuk 'melencong'.

Suke la tu! Boleh masuk PICC.

Memang banyak ilmu yang aku dapat hari itu, antaranya ialah untuk mengekalkan perpaduan sesuatu kaum haruslah memahami sesuatu kaum. Sangat senang jika kita memahami budaya sesuatu kaum itu sendiri sebagai contoh waktu magrib bagi orang Melayu adalah sangat penting kerana masanya yang singkat. Kita seboleh-bolehnya tidak mahu menerima sebarang tetamu pada waktu itu kerana ingin menyelesaikan beberapa aktiviti seperti mandi, makan malam dan tentunya sembahyang magrib. Jadi kaum lain haruslah memahami perkara seperti ini.

Lampu dalam dewan utama, cantik tak?

Begitu juga dengan kaum Melayu harus memahami budaya masyarakat yang lain. Tetapi kita tidak cukup memahami budaya dan cara hidup kaum yang lain kerana pendedahan dengan kaum yang lain adalah terbatas.

Contoh yang paling mudah adalah di sekolah. Kita telah dipisahkan sejak kecil lagi dengan sekolah satu jenis. Walaupun sekolah kebangsaan adalah untuk semua kaum, tetapi kaum yang dominan adalah melayu. Begitu juga dengan SJKC dan SJKT.

Kesimpulannya, semua kaum harus bercampur-gaul untuk memahami antara satu sama-lain untuk membuang persepsi negatif sesama sendiri dan mengekalkan perpaduan.


Konsert Gema & Rasa: 5 Mac 2009

Ini juga adalah kali pertama aku masuk ke Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Telah lama aku berniat untuk masuk ke dewan ini untuk menikmati konsert atau bunyi-bunyian yang dihasilkan di dalam dewan ini.

Senyum!!!

Pada mulanya, aku ingat dewan ini adalah besar tetapi rupa-rupanya tidaklah sebesar yang aku imaginasikan. Dewan di Istana Budaya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan DFP ini. Cuma besar sedikit dari dewan Institutku.

Satu persembahan yang mengasyikkan melalui kolaborasi tari dan muzik daripada Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) yang sentiasa mencari kelainan dalam persembahan. Kali ini, 10 orang kareografer muda KSPP mencipta gerak tari baru yang dikembangkan secara kreatif daripada gema rentak Melayu asli, inang, joget, masri, gerak etnik Borneo, India klasik dan sentuhan oriental Cina dengan iringan muzik komposisi baru daripada sembilan komposer KSPP.

Aku, Afiq, Tabis dan Faizal, empat orang semuanya yang menonton konsert ini. Kami duduk di tempat yang paling depan sekali kerana tempat itu adalah antara yang paling murah dan tidak ada orang yang beli lagi. Mula-mula ingat macam tidak seronok la duduk di depan ni, tapi bila tarian Kuda Kepang memulakan konsert semua orang terpegun kerana dapat lihat dari dekat penari-penari menari.

Segala lenggok tari, ekspresi muka dan badan dapat dihayati dengan lebih dekat dan teliti. Cuma ada satu kekurangan apabila duduk di depan, kita tidak dapat melihat sesuatu persembahan itu secara keseluruhan. Bentuk dan formasi itu kita tidak dapat lihat sepenuhnya kerana jarak terlalu dekat dengan pentas. Cuma boleh fokus kepada dua atau tiga penari pada satu-satu masa.

Tapi tidak mengapa, oleh kerana pertama kali kami semua masuk ke DFP ini. Insya allah, lain kali aku akan datang lagi.

Gunung Nuang lagi: 7 & 8 Mac 2009

Baru je minggu lepas naik G.Nuang, minggu ni naik lagi tapi sampai Kem Lolo saja. Trip kali ini adalah bersama dengan geng-geng wataniah IPGM Kampus Pendidikan Teknik. Aku memang merancang untuk sampai di Kem Lolo, berhenti di situ untuk makan-makan, mandi-mandi dan rilek-rilek. Berkelah la orang kata kan.

Memang seronok mandi di Lolo, airnya memang sejuuuk! Sangat segar. Jadi siapa-siapa yang berminat boleh lah pergi ke Kem Lolo ni. Kena la trekking dulu dan selepas tu mandi-manda. Memang tak rugi la.

Sunday, March 1, 2009

XPDC Gunung Nuang

Assalamualaikum wbt.
Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha pengasih.

Pada suatu petang, tanggal 27 February 2009 bersamaan 2 Rabiul Awal 1430 iaitu pada hari Jumaat maka berkumpullah ahli-ahli bekas XPDC Gunung Kinabalu 2008 untuk meneruskan ekspedisi yang telah dirancang untuk tahun ini iaitu program menawan Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.

XPDC Gunung Nuang bergambar bersama

Berkat kesungguhan pengerusinya saudara Syukri dan setiausahanya iaitu saudara Saiful Lokman yang gigih berusaha untuk menjayakan aktiviti kali ini. Akhirnya ekspedisi ini berjaya dilaksanakan. Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan untuk mereka berdua. Tidak lupa juga kepada abang Khairul yang sememangnya banyak berjasa dalam aktiviti kali ini dengan masa yang diluangkan oleh beliau untuk bersama-sama menjayakan aktiviti ini. Serta curahan keringan, nasihat dan cadangan yang diberikan banyak membantu melancarkan ekspedisi buat kesekian kalinya.

Ekspedisi Gunung Nuang ini dimulakan dengan kecelaruan mencari tarikh untuk memulakan ekpedisi, kemudiannya 'ketidaksempatan' pensyarah untuk menyertai program ini lantaran pertembungan tarikh dengan pengajaran kelas OUM serta 'ketidakramaian' peserta yang ingin menyertai ekspedisi ini. Walaubagaimanapun, kecelaruan mencari tarikh akhirnya menemui titik noktahnya apabila tanggal 27 February2009 menjadi tarikh penentunya.

'Ketidaksempatan' dan kesusahan untuk mencari pensyarah pengiring aktiviti kali ini akhirnya berbaloi apabila Cik Rohaiza dari jabatan sains dan En Abu Bakar (Mr. Burn) dari jabatan bahasa sanggup menjadi peneman kami semasa ekspedisi. Terutamanya kepada Cik Rohaiza yang sanggup bersama-sama kami meredah sungai, mendaki bukit, menuruni lurah untuk bersama memberi semangat kepada kami semua untuk menawan puncak Nuang. Walaupun hanya berjaya sampai ke Kem Lolo dan terpaksa bergegas pulang untuk menemani bondanya yang berseorangan kesunyian di rumah, kami tetap menghargainya.

Buat Mr. Burn, walaupun kedatanganmu hanya sebagai peneman waktu makan, namun namamu diatas kertas kerja sebagai pensyarah pengiring kami tetap disanjung tinggi dan kami amat memahami kesibukanmu sebagai koordinator untuk pelajar OUM yang amat sibuk pada hujung minggu itu untuk bersama-sama kami memanjat Nuang. Sewajarnya dipuji kesanggupanmu mengorbankan sedikit masa dan waktu untuk membuang masa bersama kami.

Jumaat, 27 February 2009

Ekspedisi dimulakan dengan menaiki bas Insitut pada jam 3.30 ptg, bertolak ke Kg Kuala Pangsun dimana kami akan bermalam sebelum bertolak untuk mendaki pada jam 4.30 pg keseesokan harinya. Perjalanan yang diambil dari Cheras ke Kg Kuala Pangsun itu adalah lebih kurang satu jam (plus minus la, aku pun dah lupa) dengan menaiki bas Institut.

Sewaktu dalam perjalanan, terdengar cakap-cakap bahawa pemandu bas tidak akan membawa kami semua sampai ke tempat dimana kami akan bermalam, hanya sekadar dibawahnya sahaja. Dimana kami semua harus berjalan kaki untuk sampai kesana. Aku sudah maklum akan jalan yang akan kami semua tempuhi, sememangnya suatu latihan pra-pendakian kerana jalannya adalah berbukit dengan jarak lebih kurang 1-2km.

Maka berpakatlah kami beberapa orang untuk memujuk pemandu supaya membawa kami semua sampai ke tempat bermalam, pelbagai usaha dan helah digunakan namun semuanya tidak berhasil. Akhirnya bas berhenti untuk menurunkan kami, dengan berat hati dan rasa terpaksa kami semua pun turun untuk meneruskan perjalanan dan menyahut panggilan Nuang untuk menawan puncaknya.

Berjalanlah kami semua memikul barang-barang dapur dengan berat beg-beg baju dan kelengkapan diri melangkah menuju tempat bermalam. Ada yang pikul beras, ada yang angkat khemah, ada yang kandar beg, ada yang junjung kotak air dan bermacam-macam lagi ragam rakan-rakan kami yang terpaksa membawa barang-barang kelengkapan untuk ekspedisi ini. Mujurlah ada abang khairul yang menjadi penyelamat kami, menawarkan keretanya untuk membawa barang-barang lain yang tak 'terbawa' oleh kami semua ke tempat bermalam.

Matnor bersama tong gasnya serta hisham dibelakang membawa guni tali

Berhenti rehat sebentar

Sesampai sahaja di tempat bermalam, budak-budak perempuan terus masuk ke chalet yang telah ditempah sebelumnya dan kami budak laki-laki memutuskan untuk bermalam disurau. Lebih mudah untuk kami kerana tidak perlu memasang dan membuka khemah lagi. Lagipun, surau itu sememangnya selesa dan muat untuk kami semua.

Aktiviti pada petang itu dimulakan dengan memasak jemput-jemput dengan diketuai oleh saudara Hisyamudin dan saudara Rozaimi sebagai pembantu. Dan akhirnya saudari Fatehah membantu untuk menggorengnya. Kami semua 'melantak' dengan lahapnya jemput-jemput yang disediakan kerana masing-masing semuanya kelaparan setelah bekerja keras mengangkat barang.

Hisham dengan wajah 'comelnya' sedang mengadun jemput-jemput

Selepas sembahyang Asar, kami budak-budak laki semuanya turun ke sungai untuk mandi-manda sementara budak perempuan menyediakan makan malam. Menunya: Nasi putih, kari ayam dan sayur kobis. Pada sebelah malamnya, selepas sembahyang isyak ada sedikit taklimat untuk perjalanan esoknya dan kami diberitahu bahawa perjalanan esok bermula pada jam 4.30 pg. Aku sememangnya suka tidur awal memulakan proses baring-baring untuk tidur. Lalu diikuti oleh teman-teman yang lain.

Air sungai yang damai, senang sekali dapat mandi di sini

Inilah kerjanya kalau tak ada kerja

Sempat lagi tu, semayang dulu beb..

Aktiviti memasak untuk makan malam oleh gadis-gadis

Sabtu,28 February 2009

Semua orang bangun awal, jam 4 pg semuanya sudah bangun dan bersiap-siap untuk memulakan perjalan mendaki gunung yang dicitakan selama ini; Gunung Nuang. Gunung yang amat tersohor untuk para pendaki membuat latihan pendakian untuk menawan gunung-gunung lain seperti gunung Kinabalu dan Everest

Kami bertolak tepat jam 4.30 pg, setelah melakukan sedikit regangan dan bacaan doa memohon kehadrat ilahi akan keberkatan dan keselamatan semua ahli ekspedisi. Trek laluan Gunung Nuang ini pada asasnya terbahagi kepada tiga iaitu; trek balak, trek tanah merah dan trek akar kayu (puncak).

Trek balak memulakan perjalanan kami pada pukul 4.30 pg itu. Perjalanan turun dan naik bukit menyebabkan aku agak kepenatan tapi masih lagi bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Kami berhenti untuk solat subuh lebih kurang pukul 6.15 pg setelah banyak kali berhenti untuk melepaskan lelah.

Bagiku, trek balak ini cabarannya adalah kerana turun naik bukitnya serta jaraknya yang padaku agak jauh. Entah berapa kilometer jaraknya, tapi ianya adalah trek terjauh untuk mendaki gunung nuang ini. Ia juga adalah trek yang mencabar sewaktu mendaki dan menuruninya. Mencabar semasa mendaki adalah kerana ia adalah trek permulaan, badan aku belum biasa untuk bekerja keras menyebabkan degupan jantungku menjadi cepat dan menjadikanku cepat penat.

Mencabar sewaktu menuruninya adalah kerana selain jaraknya yang jauh, kakiku sudah bekerja keras sewaktu mendaki sebentar tadi dan terpaksa bekerja keras lagi untuk turun. Memaksa otot-otot kaki, betis dan peha bekerja keras untukku turun. Inilah akibatnya kalau tidak aktif bersukan, berat badan naik turut menambah beban pada kakiku ini.

Pada waktu ini bermacam-macam gaya sudah kucuba untuk mengurangkan sakit pada kakiku seperti jalan mengiring samada kekiri atau kekanan, jalan kebelakang dan sebagainya. Sememangnya menyeksakan apabila otot-otot kaki sudah sakit, dan dipaksa lagi untuk bekerja keras.

Berhenti untuk sarapan pagi di Kem Lolo

Trek kedua adalah trek tanah merah, trek ini bermula selepas Kem Lolo sampailah ke Kem Pacat. Trek ini cabarannya adalah untuk melalui laluan yang menjadi laluan air apabila hujan. Apabila hujan, air hujan akan menyebabkan hakisan pada tanah merah, menyebabkan lopak-lopak dan lekuk-lekuk pada tanah. Mujurlah semasa naik dan turun tidak hujan dimana hujan akan menyebabkan trek menjadi licin dan sukar untuk mendaki.

Trek tanah merah

Alhamdulillah tidak banyak dugaan pada trek ini padaku. Cuma yang menjadi masalahnya adalah kentut. Ya kentut! Disini bermulalah ujian menghidu bau kentut orang. Entahlah dimana silapnya, kerap kali terhidu bau gas ammonia ini. Terutamanya bagi orang yang berada di belakang. Ujian ini tidak berhenti semasa mendaki di trek tanah merah sahaja, ia berterusan sehingga ke puncak, menuruni puncak sehinggalah kami turun ke Kem Lolo barulah kentut-kentut manusia ini menjadi kurang.

Berehat sebentar bersama.....? Kit Kat?

Perhentian seterusnya adalah Kem Pacat, disinilah beberapa rakan kami yang tidak larat untuk meneruskan pendakian berhenti disini. Saudari Fatehah mengalami kekejangan kaki, beliau tidak mampu lagi untuk mendaki dan untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk daripada berlaku beliau memutuskan untuk berhenti berehat di Kem Pacat ditemani oleh Faradilla. Manakala dua jejaka penghibur duka merelakan diri untuk menemani dua kuntum bunga yang 'keletihan' iaitu saudara Matnor dan Saiful (sheikh).

Sempat berposing

Kem Pacat yang sekadar tanah rata sahaja

Mereka berdualah penawar duka peneman sepi ketika menunggu kami semua meneruskan pendakian ke puncak. Dari apa yang diceritakan, mereka telah bermain ting-ting, konda-kondi dan teka-teki semasa menunggu. Pandai pun mereka ini, daripada membuang masa begitu sahaja, lebih baik masa yang terluang itu diisi dengan sesuatu. Walaupun permainan yang dilaksanakan adalah sesuai untuk kanak-kanak, tapi apa salahnya untuk orang dewasa memainkannya. Almaklumlah, bakal cikgu sekolah rendah kenalah membuat sedikit ulangkaji permainan tradisional ini agar tidak diperkecilkan oleh murid nanti.

Senyum, jangan tak senyum walaupun penat

Trek seterusnya adalah trek akar kayu, trek ini cabaran semasa mendaki tidaklah begitu terasa kerana banyak akar-akar kayu yang boleh kita berpaut semasa mendakinya. Walaupun begitu, lutut bertemu muka itu adalah normal untuk trek ini. Yang menjadi masalahnya adalah semasa menuruninya. Dengan darjah kecerunan yang agak 'menyeramkan' dan terlalu hampir dengan tebing amatlah berbahaya jika kita leka dan tidak mengambil berat akan keselamatan diri.

Puncak Pengasih menggamit kami sebelum meneruskan ke puncak Nunang. Kami fikir sudah sampai ke puncak Nuang, rupa-rupanya tidak. Selepas Puncak Pengasih, kami turun ke denai yang sedikit landai sebelum mendaki semula ke Puncak G.Nuang. Disinilah kita boleh melihat tiga buah negeri, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur. Melalui puncak ini juga kita boleh ke negeri Pahang melalui Janda Baik dan juga boleh menembusi ke Negeri Sembilan.

Puncak Pengasih

Kami tiba di puncak lebih kurang pukul12.15 tgh. Udara yang nyaman, pemandangan yang cantik menggamit ketibaan kami di puncak Nuang. Walaupun pemandangan kadangkala berkabus menutupi muka bumi, namun dengan suasana yang nyaman dan damai amatlah dirasai ketika di puncak. Rasa sungguh berbaloi berpenat lelah mendaki dan meredah denai untuk sampai kesini.

Bergambar di puncak Gunung Nuang

Wajah-wajah puas

Alhamdulillah, segala puji bagai Allah yang menciptakan alam ini dengan kekuasaannya. Kami manusia ini tidak mampu menandingi ciptaanmu walaupun dengan sekecil-kecil nyamuk sekalipun. Sesungguhnya engkau maha berkuasa dan maha segala-galanya.

Kami berada di puncak lebih kurang 45 minit sebelum menuruni ke Kem Pacat untuk mengambil teman kami yang empat orang itu. Disinilah bermulanya cabaran seterusnya iaitu menuruni gunung.

Berbaloi dengan penat dan letih yang dirasai apabila tiba di puncak

Apabila sampai ke Kem Lolo dimana Abang Khairul berada, kami semua berhenti rehat serta menunaikan solat zohor. Ada yang membuka kasut dan merendamkan kaki didalam air sungai untuk meredakan sedikit ketegangan yang dirasai. Air sungai di Kem Lolo sememangnya sejuk dan jernih, memang sesuai untuk berehat sebentar.

Tepat jam 4.30 ptg, kami sememangnya mahu cepat-cepat menuruni gunung untuk mengelakkan hujan turun namun apakan daya, kuasa Allah itu lebih hebat. Hujan turun dengan lebatnya, namun alhamdulillah kami sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi hujan untuk ekspedisi ini. Baju hujan sudah siap sedia dan rain cover untuk beg turut siap dipasang.

Kami semua harus cepat untuk sampai ke trek balak bagi mengelakkan air sungai naik dan kami tidak akan dapat untuk menyeberanginya. Walaupun kami sudah bersedia dengan tali, jika air sungai terlalu dalam dan terlalu deras, tali sudah tidak berguna lagi.

Syukur sekali lagi, walaupun dengan hujan lebat, kami sempat sampai ke trek balak sebelum air sungai naik dan apabila sampai di trek balak hujan sudah mulai reda. Kami sememangnya bersyukur kerana diberi keizinan oleh allah untuk mendaki dan menuruni gunung nuang ini dengan selamat.

Pendaki yang terakhir sampai di tempat bermalam kami adalah pada pukul 6.40 ptg. Perjalanan selama 14 jam sememangnya berbaloi untuk aku khususnya setelah mengumpulkan lemak-lemak di badan. Satu senaman yang menyihatkan dan memeritkan. Ia menguji ketahanan fizikal dan mentalku sama ada mampu untuk bertahan dan menguji batasanku sehingga ke titisan yang terakhir.

Pada sebelah malamnya, kami dihidangkan dengan bbq ayam panggang, ikan bakar dan nasi goreng yang disediakan khas untuk kami oleh 'Usop & the Gang Catering'. Terima kasih semua yang membantu menyediakannya, tanpa mereka semua ini sesungguhnya kami memang tidak larat lagi untuk menyediakan makanan.

Ahad, 1 Mac 2009

Hari ini adalah hari terakhir kami di Kuala Pangsun. Sarapan pagi mula dimasak pada pukul 8 pg. Semua orang bermalas-malasan untuk memulakan memasak sarapan. Masih terasa sengal tubuh-tubuh dan urat-urat terasa berdenyut-denyut meminta untuk tidur dan rehat selama mungkin. Tapi apakan daya, perut menyanyi-nyanyi meminta diisi.

Kami penuhi pagi itu dengan sarapan, selepas sarapan budak lelaki meneruskan agenda mandi sungai buat kali terakhir sebelum pulang. Manakala yang perempuannya membasuh periuk belanga dan pinggan kotor sebelum mengemas untuk pulang.

Pengalaman kali ini sememangnya berharga buatku, tidak mampu untuk kubeli dengan wang ringgit pengalaman ini. Penat memang penat tapi amat berbaloi bagi diriku. Pengalaman sememangnya 'mengkayakan' diri. Disinilah nikmatnya melakukan aktiviti lasak pada pandanganku.

Apabila badan kita sudah tidak mampu lagi untuk mengerah keringat, mental harus memainkan peranan dengan memberi semangat kepada badan untuk terus bertahan selama mungkin sehingga sampai ke destinasi akhir. Mental itu harus kuat, kental dan bersemangat untuk memberi dorongan kepada diri untuk terus menerus melakukan pergerakan. Push into your limit! Apabila habis, kita akan tersenyum nikmat, bersyukur kerana mampu menghabiskannya. Walau sesukar manapun, kita mampu untuk menyudahkannya.

Daku kan kembali menawan puncakmu sekali lagi, hanya Allah mengetahui bilakah ia

Sekian sahaja untuk kali ini, jumpa lagi untuk entry yang seterusnya.
Adios.........