Tuesday, June 9, 2009

Muhyidin oh Muhyidin

Assalamualaikum wbt.


Sebelum mula menulis apa yang inginku sampaikan pada entri kali ini, daku mohon ampun dan maaf jika tajuk entri ini agak kurang ajar. Tapi memang aku maksudkannya.

Setelah Tan sri Muhyidin Yassin memegang portfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Pelajaran, apa yang aku lihat beliau lebih banyak menghuru-harakan sistem pendidikan kita yang sedia ada huru-hara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Isu Pertama

Alasan yang pertama adalah dengan cadangan beliau ingin memaksimumkan jumlah matapelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 10 subjeh sahaja. Aku tidak faham rasional beliau berfikiran begitu dengan alasan supaya pelajar kita dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada subjek teras dan subjek-subjek tertentu yang lebih utama.

Tidakkah beliau befikir, aku tulis lagi sekali, befikir dengan sedalam-dalamnya serta memahami isu yang beliau bangkitkan ini. Pelajar yang mengambil subjek lebih dari 10 atau 11 bagi sekolah agama (kalau aku tidak salah la) sudah merasionalkan pemikiran mereka dan mereka sememangnya mampu serta beupaya untuk mengambil lebih. Dari segi intelektual sememangnya tidak ada halangan bagi mereka, jika tidak takkan lah bodoh sangat mahu mengambil subjek lebih dari biasa jika subjek yang asas pun tak larat nak bawa.

Jika alasan guru tidak mencukupi untuk mengajar subjek-subjek lebihan tersebut, ini juga alasan yang bodoh. Para pelajar yang mengambil lebih subjek dalam SPM, sebenarnya belajar di luar contohnya dengan mengambil tuisyen. Jika guru-guru ini terlibat, mereka hanya mengajar diluar waktu persekolahan. Jadi apa masalahnya sekarang ini?

Isu Kedua

Hari ini aku baca akhbar Berita Harian terkejut dengan cadangan beliau ingin mengenakan syarat wajib lulus bahasa inggeris untuk layak mendapat sijil SPM. Sudahlah Melayu tidak pandai inggeris, mahu mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh. Apa jenis pemikiran ni?

Mari kita lihat kesan dan akibat dari cadangan beliau ini.
  1. Banyak pelajar Melayu terutamanya pelajar luar bandar tidak layak mendapat sijil SPM. Kita harus akui bahawa pelajar Melayu lemah di dalam Bahasa Inggeris. Banyak alasan mengapa pelajar ini tidak dapat mengusai BI dengan baik dan aku tidak ingin membincangkannya disini. Bayangkan pelajar mendapat 9A tetapi BI nya E, apa akan terjadi terhadap pelajar ini? Apakah tidak mungkin seorang pelajar mendapat 9A1 tetapi BI bya gagal? Tidak mustahil bukan? Namun ke mana hala tuju pelajar ini selepas SPM jika dikira gagal kerana tidak lulus Bahasa Inggerisnya?
  2. Apabila tidak layak mendapat sijil, susah atau senang pelajar ini ingin memasuki IPTA mahupun IPTS? Ini belum lagi memasuki alam pekerjaan yang sememangnya sekarang ini sijil SPM merupakan suatu kewajipan. Alangkan sudah mendapat sekeping ijazah pun sukar untuk mendapatkan pekerjaan, inikan pula mahu peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Isu Sebenar

Isu-isu di atas bukanlah isu sebenar dan masalah besar dalam pendidikan negara kita. PPSMI haruslah dimansuhkan untuk memperkasakan Bahasa Malaysia menjadi bahasa ilmu. Perkara ini tidak mustahil. Pelajar kita ingin ke Jepun kena belajar bahasa Jepun. Ingin ke Russia belajar Bahasa Russia. Kemana lagi pelajar kita pergi pasti belajar bahasa ibunda negara tersebut. Ini membuktikan Bahasa Malaysia kita haruslah diperkasakan untuk menjadi bahasa ilmu! Supaya rakyat negara lain berlumba-lumba ingin menuntut di negara kita.

Pelajar yang belajar di dalam BI bagi subjek matematik dan sains, adakah mereka memahami isi ilmu tersebut dengan mendalam? Mungkin bagi pelajar yang hidup di kota ia memang tidak menjadi masalah besar kerana terdedah dengan bahasa inggeris lebih awal dan selalu menggunakannya. Tapi bagaimana pula dengan pelajar luar bandar?

Para pemimpin dan para pembuat dasar kebanyakannya aku yakin berasal dari kalangan bangsawan. Tidak memahami budaya dan cara hidup orang kebanyakan dan orang miskin. Dan jika ada pun, mereka ini lupa bahawa mereka pernah beraada di kelompok ini sebelum itu. Orang kampung tidak bercakap di rumah mereka dengan Bahasa Inggeris. Tidak berkomunikasi dengan jiran sekampung dengan English Language. Tidak beurusan di kedai runcit cakap omputih. Malah makan dan tidur hingga mati pun cakap Bahasa Malaysia.

Inilah budaya yang sepatutnya tidak diubah selama-lamanya. Inilah jatidiri bangsa. Bahasa melambangkan jatidiri sesuatu bangsa. Punah bahasa, musnahlah bangsa.

Perkara yang sepatutnya dilakukan oleh Tan Sri adalah memperkasakan subjek BI itu sendiri, bukan membahasa inggeriskan semua sekali. Kita harus akui yang guru bahasa inggeris tidak pernah cukup. Perkara seperti inilah yang harus diubah. Tambahkan biasiswa untuk pelajar TESL contohnya. Buat pengambilan yang lebih besar untuk melatih guru bahasa inggeris di IPGM-IPGM seluruh Malaysia serta seluruh universiti dalam negara.

Andai kata masalah wang terjadi dan negara tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan biasiswa ini, berikanlah pinjaman PTPN untuk mereka yang ingin menjadi guru Bahasa Inggeris.

Terhadkan nisbah antara guru dan murid. Jika jumlah murid kecil di dalam kelas, guru boleh memberi tumpuan yang lebih kepada murid di dalam kelas. Perkara ini belum juga dapat diselesaikan. Tan Sri pergilah cuba mengajar bahasa inggeris di sekolah pedalaman. Apa akan Tan Sri rasa apabila mengajar anak-anak kampung. Jika tak, pergilah mengajar di sekolah bandar yang muridnya 45 orang dalam satu kelas.

Saya mahu tahu juga apakah yang strategi yang Tan Sri akan gunakan untuk mengajar sambil mengawal kelas. Bolehlah bagi tips selepas itu ya Tan sri!

Harap yang berbahgia Tan sri dapat selesaikannya.

Belajar bahasa asing bukanlah seperti membela ayam. Beranak hari ini 2 bulan kemudian sudah boleh sembelih. Ia merupakan suatu proses yang panjang. Ada ke budak kecil baru lahir lepas dua bulan dah boleh bercakap? Mustahil bukan? Begitulah dengan Bahasa Inggeris ini. Ada banyak cara lagi untuk menjayakan rakyat Malaysia menguasai Bahasa Inggeris.

Tidak semestinya seseorang yang gagal BI dalam SPM tidak mampu menguasainya ketika mengambil diploma, atau ijazah, atau sarjana mahupun doktor falsafah. Namun menjadi masalah besar jika tidak ada sijil SPM lantaran gagal dalam BI.

Harap Tan Sri fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Perkasakanlah Bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama bahasa ibunda tidak dilupakan. Berfikirlah isu-isu yang lebih relevan, yang lebih penting dan janganlah menimbulkan isu-isu yang haprak ini. Jika tidak tahu, bertanyalah kepada yang tahu. Janganlah kerana kita ini menteri, ingin menunjukkan dasar kitalah yang paling bagus. Idea kitalah yang paling bernas.

Apa yang penting, kerjasama. Kata Wonderpets kepada kawan-kawannya.

Adios......