Tuesday, June 2, 2009

Pantai Teluk Ketapang

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.


Siapa nak ikut angah pergi pantai? Aku bertanya kepada dua orang adikku usai solat asar petang semalam. Entah kenapa hati ini teringin sangat nak melihat pantai, melihat pasir yang memutih dengan deruan angin menyapu telinga seakan-akan memanggil untuk kesana.

Nak pergi mandi ke? Adikku yang bongsu bertanya membalas soalan yang ku lontarkan sebentar tadi. Kalau mengikut kebiasaan, memang aku selalu mengajak kedua adikku ke pantai untuk mandi tika pulang ke kampung. Namun kali ini rasa tidak begitu teruja untuk mandi manda lantaran usia sudah besar panjang menjangkau 23 tahun tidak lama lagi.


Aku memang suka mandi di pantai mahupun sungai. Apa lagi jika airnya dalam dan kaki ini tidak mampu mencecah dasar. Bukan ingin membangga diri tapi itulah diriku, suka mandi ditempat yang dalam. Hapus kepala kalau loghat orang terengganu.

Sufi, adikku yang bongsu pantas meminta kunci kereta daripada emak selepas aku mengatakan ingin menggunakan kereta ke pantai Teluk Ketapang. Ramai rakan terdekatku arif dan maklum yang aku tidak berani memandu kereta, namun ditempat sendiri dan menggunakan kenderaan keluarga aku jadi lebih berani. Jika menggunakan kenderaan orang lain, aku bimbang jika terjadi apa-apa. Siapa yang susah nanti, aku sudah tentu. Banyak pihak yang akan terlibat, jadi aku mengambil jalan mudah untuk tidak memandu kenderaan orang.

Perjalanan ke Pantai Teluk Ketapang mengambil masa tak sampai 10 minit menggunakan kereta proton saga buruk yang banyak berbakti dan berjasa kepada kami sekeluarga. Walaupun warnanya semakin lusuh dimamah usia, kentalnya kereta ini kerana tidak banyak memberikan masalah jika menggunakannya.

Lima tahun lepas, keadaan dan suasana pantai ini jauh berbeza dengan sekarang. Tidak ramai manusia yang berada disini. Sampah sarap bertebaran merata-rata di tepi pantai. Tunggul kayu mereput dikelilingi plastik buangan kapal, botol-botol minuman manusia menjadi pandangan mata. Namun sejak beberapa tahun ini, pantai ini kelihatan bersih. Mungkin ada pihak MBKT yang membuat kerja-kerja pembersihan disini. Baguslah, jika pantai semakin bersih makin ramailah orang akan datang ke sini. Maka bertambahlah pendapatan peniaga-peniaga kecil di sekitar pesisir pantai.


Pasir yang memutih halus menyenangkan kaki berjalan. Kulit-kulit cengkerang berhambaran di pinggiran. Matahari teduh menunggu waktu melabuhkan tirai. Tetap berjasa menyinari bumi tuhan. Sungguh aman waktu itu bejalan-jalan sambil bermain air di gigi air. Pukulan ombak kecil memukul-mukul kaki membasahi hujung seluar tidak ku hiraukan.

Banyak kenanganku di pantai ini. Semenjak kecil lagi sewaktu cuti sekolah selalu ayah membawa kami sekeluarga bersiar-siar disini. Sewaktu rumah sewa kami di Kg Telaga Daeng, hampir setiap hari aku mandi laut. Ayahpun kerap menjala diwaktu pagi. Ada lah anak gelama dan ikan sebelah mengena. Sedap digoreng ikan yang segar baru ditangkap.



Pantai ini masih cantik. Airnya masih jernih. Sesuai untuk aktiviti mandi-manda dikala air tenang. Namun awas jika ombak mengganas, hati-hati jika ingin mandi.

Adios...