Thursday, January 22, 2009

MeLAyu

Sajak ini adalah hasil nukilan oleh Sasterawan Negara (SN) Usman Awang. Sajak-sajak SN Usman Awang ini memang sangat aku kagumi kerana perkataan-perkataan yang digunakan adalah perkataan yang biasa-biasa sahaja namun apabila diolah oleh SN ini, ia menjadi suatu hasil yang cukup mengagumkan. Ada beberapa lagi sajak Sn Usman Awang yang aku suka, mungkin di lain masukan akan aku masukkan.

Tajuk: Melayu
Nukilan: SN Usman Awang

Melayu itu orang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bijak menganpu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati anak
Jangan mati adat

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistan, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah Muallaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
melongkar jauh sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasyanya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi secara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal kawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu tidak terbanding
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga terciptalah sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera dihutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran"

Bagaimana Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang penghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin pada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Adakah anda terasa?
Adakah anda rasa terkena?
Adakah anda rasa tersentuh?
Apa perasaan anda?
Hmmm.....
Terpulanglah.....
Aku pun tak tau nak kata apa.....

No comments: